Social
133
0

100kg daun ketum ditemui di tepi jalan

Padang Besar – Polis menemui 100 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM3,000 yang ditinggalkan di tepi jalan di Kok Mak, di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu, anggota peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar sedang melakukan rutin rondaan cegah jenayah di sekitar kawasan Padang Besar.

“Ketika tugas rondaan dilakukan, anggota polis bertugas terserempak dengan sebuah kereta jenis Proton Perdana warna hitam dalam keadaan mencurigakan dipandu seorang lelaki di kawasan simpang tiga Kampung Kok Mak.

“Kita cuba menahan suspek namun suspek bertindak memecut keretanya sehingga berjaya memboloskan diri meninggalkan kawasan berkenaan.

“Lanjutan dari insiden itu, kita kemudian memeriksa sekitar kawasan di mana kereta itu pada mulanya dikesan dan berjaya menemui 10 bungkusan plastik warna hitam yang mengandungi helaian daun disyaki ketum ditinggalkan di tepi jalan berdekatan sawah padi di kampung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, daun ketum berkenaan dianggarkan seberat 100kg dan dipercayai bernilai RM3,000.

“Kesemua rampasan dibawa ke IPD Padang Besar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dimana sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000 dan penjara sehingga empat tahun,” katanya.

Dalam tempoh 48 jam, sebanyak 520 kg daun ketum berjaya dirampas polis di kawasan Kok Mak, Padang Besar dalam dua operasi berbeza. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu