Social
180
0

11 ditahan berpesta liar ketika PKP

Bukit Mertajam – Polis menahan 11 individu termasuk tiga wanita kerana disyaki terbabit dengan parti liar untuk berpesta dadah serta mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Machang Bubok, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam serbuan pukul 2.20 pagi itu, polis menahan semua mereka berusia 20 hingga 40 tahun yang sedang leka menghisap dadah dan berhibur di dalam dua bilik hotel di situ, berdasarkan hasil maklumat awam serta risikan dijalankan pihaknya.

“Dalam serbuan bilik pertama, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita serta merampas sejumlah dadah jenis ketamin dan pil ekstasi manakala enam lagi ditahan di dalam bilik kedua di hotel itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati mereka dipercayai menyewa dua bilik hotel di situ untuk berhibur dan menghisap dadah ketika pelaksanaan PKP bagi mengelak dikesan pihak berkuasa namun taktik mereka berjaya dibongkar.

Beliau berkata, ujian air kencing mendapati 10 daripada mereka positif dadah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut selain semua mereka dikenakan kompaun RM1,000 setiap seorang kerana melanggar arahan PKP. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu