Nation
208
0

15 kes baharu COVID-19 dikesan di Johor

Johor Bahru – Sebanyak 15 kes baharu jangkitan wabak COVID-19 di negeri ini direkod semalam, dengan 14 daripadanya membabitkan Kluster Kempas, manakala satu kes jangkitan pengembara pulang dari Sabah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata sehingga kini, Jabatan Kesihatan Negeri Johor melaporkan terdapat 45 kes COVID-19 aktif di negeri ini.

Katanya, kes positif COVID-19 Kluster Kempas sehingga hari ini merekodkan sebanyak 22 kes iaitu tujuh rakan sekerja kes indeks, 14 orang ahli keluarga mereka dan seorang pelajar.

“Jumlah kontak Kluster Kempas yang dikenal pasti setakat ini adalah seramai 211 membabitkan kawasan Johor Bahru, Kulai, Pontian selain Selangor serta Melaka.

“Daripada jumlah berkenaan, 63 didapati negatif COVID-19, manakala 148 lagi masih menunggu keputusan.

“Punca jangkitan kluster berkenaan masih lagi di dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor menyeru rakyat negeri ini supaya sentiasa mematuhi dan mengamalkan norma baharu iaitu penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penjagaan kebersihan diri.

Katanya, kepatuhan terhadap SOP ini akan mengurangkan risiko penularan dalam kalangan masyarakat.

“Masyarakat tidak perlu khuatir berhubung keselamatan pelajar di sekolah berikutan kejadian kes COVID-19 di Johor membabitkan warga sekolah adalah rendah atas usaha dan tindakan awal yang diambil oleh pihak sekolah ini dan jabatan terbabit.

“Namun sekolah di negeri ini diingatkan untuk memastikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) norma baharu bagi sekolah yang dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya status risiko penularan COVID-19 yang rendah di persekitaran sekolah dapat dikekalkan.

“Diharapkan semua pihak dapat bertenang dan tidak menimbulkan panik di kalangan umum dengan menyebarkan maklumat-maklumat yang kurang tepat,” katanya.

Beliau berkata, beri laluan kepada jabatan yang berkaitan untuk melakukan tugas mereka tanpa halangan, bagi memudahkan tugas mengekang penularan wabak COVID-19 dengan berkesan di negeri ini. – BH Online

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu