Nation
197
0

2 lelaki didakwa bunuh, tanam pesara polis

Kluang – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan menanam seorang pesara polis di sebuah premis, di sini, Ogos lepas.

Tertuduh Lim Fong Kim, 37, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurucakap dalam bahasa Mandarin manakala Saharudin A Samad, 42, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret ND Arun.

Mengikut kertas pertuduhan, Lim didakwa membunuh Su Kim Chiang, 57, dengan menggunakan sebatang alat komponen motosikal pada 31 Ogos antara pukul 8.10 malam hingga 9 malam di sebuah premis, Batu 22, Jalan Ikan Merah 5, Kahang Dalam, dekat sini.

Tertuduh yang merupakan pekerja sebuah kedai tayar, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati.

Saharudin didakwa membantu Lim menanam mayat pesara polis di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 26, Jalan Mersing, dekat sini pada 31 Ogos antara 8.10 malam hingga 1.30 pagi dan didakwa di bawah Seksyen 201 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, Saharudin boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Zahida Muhammad Ruzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nur Zahida memohon agar mahkamah meletakkan wang jaminan RM10,000 ke atas Saharudin bagaimanapun Saharudin memohon dikurangkan wang jaminan kerana hanya bekerja di kebun kelapa sawit dengan gaji bulanan kira-kira RM2,000.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bagi Saharudin dan sebutan semula kes pada 26 Nov ini untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Lim. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu