Nation
113
0

233 institut memandu dikhuatiri bakal gulung tikar

Bachok – Selepas mengalami kerugian mencecah RM400,000 hingga RM1.5 juta kerana tidak dapat beroperasi dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejumlah 233 institut memandu di seluruh negara dikhuatiri bakal gulung tikar.

Naib Presiden Majlis Piawaian dan Pemodenan Industri Memandu Malaysia (Mapim), Nor Haslina Abdullah berkata, untuk itu kerajaan digesa memberi kelonggaran untuk institut memandu beroperasi semula agar mereka tidak terus menanggung kerugian.

Menurutnya, pertimbangan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan amat diharapkan warga institut memandu khususnya tenaga pengajar yang kini hilang punca pendapatan.

“Kerugian turut ditanggung calon pelbagai kategori yang ingin menduduki ujian memandu apabila lesen memandu L dan lain-lain yang berkaitan tamat tempoh dan gagal diperbaharui dalam tempoh ini.

“Institut memandu menanggung kos minimum sebanyak RM300 untuk seorang calon apabila mereka terpaksa menduduki semula kelas dan modul yang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar di Akademi Memandu Kist (Amkist) di sini hari ini.

Nor Haslina berkata, Presiden Mapim, Datuk Hanafi Mat Zin telah mengemukakan permasalahan itu dan merayu kelonggaran diberikan menerusi satu surat pada 4 Februari lalu kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Beliau berkata, kira-kira 8,000 tenaga pengajar tidak termasuk kakitangan pengurusan turut khuatir kemungkinan institut memandu gagal membayar gaji mereka bagi bulan ini.

Katanya, ini kerana semua syarikat hilang sumber pendapatan selain terbeban dengan pembayaran pinjaman bank bagi pembelian motosikal, kereta, lori dan bas yang digunakan untuk sesi ujian.

“Sesetengah daripada syarikat terpaksa mencari sumber kewangan lain untuk melunaskan sewa bangunan, tapak dan pembelian komputer untuk kegunaan di dewan peperiksaan kelas memandu.

“Setakat ini masih belum berlaku sebarang kluster Covid-19 melibatkan kelas memandu kerana kita amat mementingkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – Utusan Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu