World
114
0

500,000 pekerjaan baharu tahun depan menerusi Skim Janakerja

Kuala Lumpur – Kerajaan akan melaksanakan Skim Jaminan Penjanaan Pekerjaan (JanaKerja) yang melibatkan penyediaan 500,000 peluang pekerjaan baharu, bermula tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia termasuk pelaksanaan pelbagai program peningkatan kemahiran dan latihan semula, melalui perbelanjaan kerajaan yang berjumlah RM3.7 bilion.

‘’Kadar purata pengangguran sejak 10 tahun lalu merekodkan 3.2 peratus atau sekitar 500,000 penganggur, berikutan pendemik COVID-19, ia telah meningkat kepada 5.3 peratus atau 820,000 penganggur pada Mei 2020 iaitu tertinggi sejak 1989.

“Melalui pembukaan semula ekonomi dan pelaksanaan inisiatif Prihatin dan Penjana, kadar pengangguran telah turun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2020,’’ katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan meneruskan usaha pengambilan pekerja di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang kini dikenali sebagai PenjanaKerjaya menerusi empat insentif dengan peruntukan RM2 bilion.

Katanya, bagi insentif pertama adalah untuk kumpulan pekerja bergaji RM1,500 ke atas yang mana akan dinaikkan daripada kadar rata RM800 sebulan kepada 40 peratus daripada gaji bulanan, terhad kepada insentif maksimum RM4,000 sebulan.

Bagi insentif kedua pula, majikan akan diberi insentif tambahan sebanyak 20 peratus, menjadikan keseluruhan insentif majikan berjumlah 60 peratus untuk menggalakkan peluang pekerjaan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU), penganggur jangka panjang dan pekerja yang diberhentikan.

‘’Untuk insentif ketiga pula, sektor dengan kebergantungan tinggi kepada pekerja asing seperti pembinaan dan perladangan, akan diberi insentif khas sebanyak 60 peratus daripada gaji bulanan dengan 40 peratus disalurkan kepada majikan dan 20 peratus kepada pekerja tempatan yang menggantikan pekerja asing.

‘Ketiga-tiga insentif ini akan diberikan untuk tempoh enam bulan,’’ katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata menerusi insentif keempat, mereka yang telah diambil bekerja di bawah PenjanaKerjaya, kos maksimum program latihan yang layak dituntut majikan akan dinaikkan daripada RM4,000 kepada RM7,000 bagi menjalani program kemahiran tinggi atau sijil professional. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu