Social
277
0

7 kakitangan JPJ ditahan SPRM

Johor Bahru – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan yang dipercayai melibatkan ketirisan mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan sejak Julai 2019.

Menurut sumber, lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 dan 42 tahun itu ditahan antara pukul 11 pagi dan 1.00 tengah hari tadi di pejabat SPRM, di sini bagi membantu siasatan berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

“Mereka dipercayai telah memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM, dan jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Johor itu dianggar mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber berkenaan.

Menurutnya kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutama membabitkan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa, dan isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di bandar raya ini untuk menghadiri mesyuarat bersama SPRM Johor, ketika dihubungi berkata semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok untuk direman, dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan ini bermula hasil makluman dan kerjasama yang baik oleh Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

Sementara itu di ALOR SETAR, Kedah, SPRM menahan reman empat individu termasuk seorang penolong pegawai penyiasat polis berpangkat sarjan, bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan tawaran RM18,000 bagi tujuan menarik balik laporan polis berkaitan satu kes jenayah.

Perintah reman selama lima hari bermula hari dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Wan Nor Fadzilah Wan Ibrahim di sini, selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Semua suspek berusia antara 26 dan 64 tahun termasuk seorang wanita itu, disiasat mengikut Seksyen 16(A)(a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata semua suspek ditahan antara pukul 1.00 dan 5.20 petang semalam di sekitar bandar raya Alor Setar. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu