Social
306
0

8 individu ditahan bakar mercun, halang polis jalankan tugas

Serdang – Polis menahan lapan lelaki dan memburu dua lagi kerana bertindak liar selain melakukan provokasi ketika polis cuba menyuraikan sekumpulan penduduk yang membakar mercun di Taman Serdang Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata polis pada mulanya menerima aduan seorang penduduk pada jam 11.15 malam selepas dibaling dengan mercun bola dan diugut dua lelaki.

“Mangsa bersama cucunya berada di hadapan rumah sebelum seorang lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk, datang dan membaling satu mercun bola ke arahnya menyebabkan serpihan mercun terkena mata kiri mangsa.

“Mangsa menegur suspek tetapi tidak diendahkan sebelum seorang lagi suspek datang dan membaling satu lagi mercun sambil mengugut akan membunuh mangsa,” katanya dalam sidang media di sini.

Katanya, mangsa yang ketakutan kemudian melaporkan kejadian itu menerusi talian kecemasan MERS 999.

Katanya, susulan itu dua pasukan polis peronda (MPV) bersama empat anggota diarahkan ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika anggota MPV sampai ke lokasi, terdapat antara 70 hingga 80 penduduk di situ sedang berkumpul di sebuah lorong dan bermain mercun.

“Anggota polis beberapa kali memberikan amaran menggunakan pembesar suara supaya mereka menghentikan perbuatan itu tetapi tidak diendahkan.

“Pada masa sama, beberapa penduduk membakar mercun papan berhampiran kereta peronda polis sambil mengejek anggota polis bertugas,” katanya.

Tambahnya, anggota MPV terbabit terkepung di kawasan itu kira-kira 30 minit sebelum berjaya meredakan keadaan dan beredar dari lokasi.

“Susulan kejadian itu, kita menahan lapan lelaki berusia antara 27 hingga 53 tahun untuk membantu siasatan, semalam.

“Kita turut memburu dua lagi suspek utama yang membaling mercun dan membuat ugutan bunuh ke atas seorang penduduk di situ dikenali sebagai Vinoth dan Saravanan,” katanya.

Semakan mendapati kedua-duanya ada rekod jenayah lampau berkaitan kes culik dan mencederakan orang.

Katanya, permohonan reman ke atas lapan suspek dibuat hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Terdahulu tular di media sosial rakaman video menunjukkan sekumpulan lelaki membakar mercun papan berhampiran kereta peronda polis. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu