Nation
176
0

Kematian polis: Empat suspek ditahan

Johor Bahru – Polis menahan empat individu termasuk seorang wanita susulan kejadian konstabel maut kemalangan ketika mengejar penjenayah di Kampung Kangkar Tebrau, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 24 hingga 27 tahun itu ditahan menerusi tiga serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Selatan bersama sepasukan anggota daripada Balai Polis Bandar Dato Onn, antara 2 petang hingga 9 malam tadi.

Katanya , kesemua suspek ditahan di sekitar Kampung Melayu Seelong, Senai dan Kampung Melayu Pandan.

“Wanita berusia 27 tahun berstatus janda anak dua yang juga pekerja kilang itu ditahan dahulu, kemudiannya membawa kepada tangkapan susulan dua lelaki masing-masing berusia 24 tahun dan tangkapan terakhir iaitu lelaki berusia 25 tahun yang membawa kenderaan berkenaan.

“Hasil siasatan awal, mengikut kenyataan wanita itu, tiga hari sebelum kejadian mereka mendakwa ada mengambil methamphetamine.

“Kereta ini disewa oleh janda berkenaan. Janda ini memberi pinjam kepada dua lelaki, yang mana seorang daripadanya adalah teman lelaki wanita itu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan, polis menemui dua botol alat hisap ais dalam kenderaan (Perodua Myvi), selain hasil saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan dua daripadanya memiliki rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya pada sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Ayob Khan berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 5 November ini (Khamis) bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, pemandu MPV, Lans Koperal Mohd Fadhirul Musa, 32, yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ismail (HSI) sudah dipindahkan ke wad biasa hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 5 pagi semalam, Konstabel Nicholester Dadup Unggat, 20, maut manakala rakan setugas parah.

Ayob Khan berkata, sebelum kejadian, kedua-dua anggota terbabit melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebelum terserempak dengan Perodua Myvi dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota kemudiannya mengarahkan suspek memberhentikan kenderaannya namun mereka melarikan diri dan anggota berkenaan mengejarnya.

“Ketika tiba di Jalan Kangkar Tebrau dan Jalan Tun Teja, MPV bergesel dengan kereta suspek sebelum terbalik dan dilanggar Perodua Aruz yang dinaiki dua orang awam dari arah bertentangan,” katanya. – Harian Metro

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu