Social
304
0

Afi umur 9 tahun pecah tabung sumbang van jenazah

Kuala Lumpur -“Nak tolong orang susah, tak suka tengok orang susah,” itu kata Muhammad Afizal Nor Afizan, seorang penyumbang cilik dari Petaling Jaya.

Baru berusia sembilan tahun, Muhammad Afizal yang mesra dipanggil “Afi” bukan kanak-kanak biasa.

Kelmarin, beliau menyampaikan hasrat kepada bapanya yang juga ahli perniagaan Nor Afizan Ayub, 35, untuk turut sama menyumbang, membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Starex untuk dijadikan van jenazah wakaf Amal Valley.

Untuk itu, Afi telah memecahkan tabung simpanannya untuk membeli MPV yang akan diwakafkan sebagai van jenazah Amal Valley, yang juga badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma.

“Saya nak ikut walid (ayah), nak buat apa yang walid buat,” kata Afi ketika ditemubual Bernama di Teratak Amal Valley di Bandar Baru Bangi dekat sini, sempena simbolik penyerahan kunci van jenazah wakaf itu.

Sekali imbas, Afi kelihatan seperti anak-anak biasa tetapi ketika mendengar cerita bapanya, ternyata anak sulung daripada dua beradik itu amat istimewa.

“Pernah dia balik rumah tanpa baju, bila saya tanya mana baju, Afi jawab dia bagi pada orang yang dia tak kenal.

“Dia memang tak boleh tengok orang susah, orang tak cukup makan,” kata Nor Afizan yang mula mendedahkan anaknya (Afi) dengan kerja-kerja kebajikan (pengurusan jenazah) sejak usia empat tahun.

Tidak seperti kanak-kanak lain, Afi juga tidak merasa takut untuk membantu bapanya yang juga penyumbang utama dan sukarelawan Amal Valley, untuk menguruskan jenazah.

“Kadang-kadang dia tunggu hingga malam, bantu saya uruskan jenazah,” kata Nor Afizan yang menyifatkan sikap anaknya itu berkemungkinan diwarisi daripada rutin keluarganya, termasuk arwah bapanya Ayub Ghani yang selalu membuat kerja kebajikan setiap hujung minggu.

Nor Afizan berkata Allahyarham bapanya meninggal dunia dua minggu lalu selepas selesai solat Subuh.

Sepanjang sesi temu bual dengan Afi, penulis merasa amat terkesan dengan perkongsian dan hasrat Afi untuk membantu golongan susah dan memerlukan.

Saat beliau bercerita tentang dua sahabat baiknya di sebuah sekolah di Kota Damansara yang dia cuma namakan sebagai Muiz dan Tawfiq, penulis dan bapanya mengalirkan air mata apabila melihat Afi sebak berkongsi tentang dua rakan karibnya itu.

“Muiz dia anak yatim, selalu tiada duit nak makan jadi saya belanja dia makan. Tawfiq samalah macam Muiz (orang susah),” kata Afi yang kelihatan sebak.

Nor Afizan berkata beliau berkongsi cerita anaknya bukannya untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ingin membuktikan bahawa umur tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang itu membuat kebaikan.

Presiden Amal Valley Dr Azfar Hussin, yang menerima sumbangan van jenazah bagi pihak Amal Valley berkata, van jenazah wakaf bernilai RM60,000 yang sebahagiannya hasil sumbangan Afi itu, merupakan van jenazah ke-15 di bawah kendalian Amal Valley.

Beliau turut menyifatkan sumbangan itu sebagai istimewa, kerana penyumbangnya baru berusia sembilan tahun tetapi sudah mahu mengikuti jejak bapanya sebagai penyumbang dan sukarelawan, bagi membantu golongan memerlukan.

“Dia (Afi) bukan saja mendengar cerita ayahnya bekerja sebagai sukarelawan tetapi berada di dalam, melihat dan membantu, menguruskan jenazah.

“Anak ini tak takut, seterusnya bila dia memberi dia pecah tabung sendiri itu yang kita nampak, elemen itu menyetuh hati kami sebagai sukarelawan. Sebenarnya apa kita buat bukan untuk orang lain, tetapi kembali kepada kita sendiri,” kata Dr Azfar.

Sebelum mengakhiri sesi temubual dengan Afi, penulis bertanya apakah cita-cita beliau apabila dewasa kelak, Afi menjawab, ‘perdana menteri. — Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu