Nation
583
0

Ahli Parlimen kuarantin hadir, Pembangkang keluar Dewan

Kuala Lumpur – Kehadiran tiga Ahli Parlimen yang sedang menjalani perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) hari ini mencetus bantahan wakil rakyat pembangkang pada sesi undi belah bahagian untuk Rang Undang-undang Perbekalan 2021 bagi Kementerian Wilayah Persekutuan peringkat jawatankuasa.

Ketiga-tiga Ahli Parlimen itu – Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan; dan P. Prabakaran (PH-Batu); – masuk ke Galeri Awam Dewan Rakyat dengan mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) untuk turut serta dalam proses pengundian.

Keadaan itu menyebabkan Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar bangkit mempersoalkan rasional membenarkan ketiga-tiga Ahli Parlimen itu memasuki dewan untuk mengundi.

Turut bangun mempersoalkan tindakan itu ialah Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman yang mendakwa kehadiran tiga Ahli Parlimen itu meningkatkan risiko jangkitan kepada wakil rakyat lain serta keluarga mereka.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata keputusan ini dibuat susulan tindakan seorang Ahli Parlimen yang bertindak melanggar kuarantin dan menyertai proses undian pada minggu lepas.

“Alasannya kerana mereka hendak mengundi, pada Khamis lalu terdapat Ahli Parlimen dari sebelah sini (pembangkang) yang tidak mematuhi perintah kuarantin dan datang mengundi.

“Saya tidak mahu perkara itu berlaku, lebih baik saya regulate (kawal atur) proses pengundian ini,” katanya.

Selepas lebih lapan minit bangkit mempersoalkan keputusan Azhar, sebahagian besar Ahli Parlimen blok pembangkang bertindak keluar dewan sebagai tanda protes.

Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 kementerian itu diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undi belah bahagian apabila 110 Ahli Parlimen menyokong, tujuh tidak bersetuju, 31 tidak mengundi manakala 72 tidak hadir.

Terdahulu sebelum sesi perbahasan peringkat jawatankuasa bermula, Azhar menjelaskan terdapat permintaan daripada tiga Ahli Parlimen yang menjalani HSO untuk menghadiri persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Azhar berkata Ahli Parlimen berkenaan dibawa dengan ambulans dan sejurus tiba di Parlimen akan ditempatkan di bilik khas.

Dalam sidang media selepas itu, Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang juga Ketua Whip PKR mendakwa Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak memanggil Ketua-ketua Whip sebelum membuat keputusan membenarkan Ahli Parlimen yang sedang menjalani HSO hadir ke Parlimen.

“Dalam kes-kes lain sebelum ini, Ketua-ketua Whip sentiasa dipanggil oleh Speaker mengenai apa-apa keputusan pun seperti berapa jam nak berbahas, SOP (prosedur operasi standard) yang kita perlu ikuti, ini semua kita bincang…hari ini tidak berlaku,” katanya.

Tambahnya, perbincangan tersebut perlu kerana ia membabitkan soal kesihatan dan keselamatan Ahli Parlimen yang lain.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata blok pembangkang tidak mempunyai maklumat berhubung laporan seorang Ahli Parlimen yang melanggar kuarantin dan menyertai proses undian pada minggu lepas.

“Kami tidak ada maklumat, tetapi kalau betul dia (Speaker) tahu ada Ahli Parlimen pembangkang yang datang, sepatutnya mengambil tindakan pada hari itu,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu