Social
221
0

Alif Satar sembuh daripada COVID-19

Kuala Lumpur – Penyanyi, pelakon dan pengacara Alif Satar yang sebelum ini mengejutkan industri seni negara selepas didapati positif COVID-19 telah kembali sihat selepas dirawat dan dikuarantin di Hospital Melaka.

Alif berkata beliau kini sudah berada di pangkuan keluarga tersayang dan meluahkan rasa syukur atas kesembuhan selepas 12 hari menerima rawatan.

“Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi atas segala nikmat, rezeki, kesihatan dan kebahagiaan yang dikurniakanNya. Sukacita Alif ingin berkongsi, selepas 12 hari dikuarantin di Hospital Melaka, atas berkat doa seluruh rakyat Malaysia buat Alif sekeluarga, Alif kini kembali sihat dan sudah berada di pangkuan keluarga tersayang,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikongsi menerusi akaun Instagramnya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua pihak kerana mengambil tanggungjawab dan bertindak pantas sebaik mengetahui keadaan beliau yang telah disahkan positif COVID-19 pada 22 Nov lepas.

“Alif ucapkan terima kasih dan penghargaan buat semua pihak terutama sekali Kementerian Kesihatan Malaysia, produksi MuzikMuzik TV3, JS Pictures dan semua rakan industri yang cukup prihatin atas segala yang berlaku dan bertindak pantas, mengambil tanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard dengan mengambil ujian saringan,” katanya.

Beliau turut berasa syukur dan lega apabila dimaklumkan bahawa semua yang terlibat di set penggambaran, rakan-rakan artis dan kru produksi TV3 negatif COVID-19.

“Alif pasti ada hikmah atas apa yang berlaku, Alif cukup terharu apabila menerima banyak titipan doa, mesej kata-kata semangat daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Keluarga Alif yang turut terkesan, menerima sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan malah komuniti jiran tetangga Alif turut membantu tidak kira sokongan moral dan tenaga bagi meringankan bebanan dan kerisauan yang harus kami lalui,” tambahnya.

Dalam pada itu, Alif turut menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menghidupkan cogan kata ‘Kita Jaga Kita’ bukan sahaja bagi membendung wabak ini tetapi melalui kerjasama komuniti dalam melawan wabak COVID-19.

“Hentikanlah stigma negatif, memulau, mengasingkan dan memandang serong mereka yang terkesan dengan wabak ini. Tiada siapa yang meminta untuk dijangkiti,” katanya. – Bernama

 

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu