Nation
67
0

Anggota polis positif Covid-19, balai polis Ampang Jaya gantung urusan

Kuala Lumpur – Balai Polis Ampang Jaya menggantung sebarang urusan kepada orang awam bermula hari ini sehingga 1 Mac, bagi mengekang penularan wabak COVID-19 susulan terdapat kes positif dalam kalangan anggota di balai berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata, setakat ini seramai 11 anggota polis di balai terbabit dikesan positif COVID-19, manakala sejumlah anggota serta kakitangan awam lain diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri.

Beliau berkata orang ramai yang ingin membuat sebarang urusan boleh pergi balai polis lain iaitu Balai Polis Hulu Klang, Balai Polis Malawati, Balai Polis Pandan Indah, Balai Polis Ukay Perdana dan Balai Polis Pandan Perdana.

“Segala urusan membuat laporan polis dan permohonan rentas daerah atau negeri boleh dibuat di balai polis lain yang berhampiran. Sama-sama kita doakan petugas barisan hadapan yang positif COVID-19 diberi kesihatan yang baik dan segera sembuh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, beliau memberitahu Bernama, jangkitan berkenaan berpunca daripada beberapa kes orang kena tahan (OKT) yang didapati positif, ketika tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan jenayah.

Bagaimanapun gerak kerja di balai polis yang lain di daerah Ampang Jaya tidak terjejas, susulan pergantungan urusan di balai itu.

Hari ini turut tular surat rasmi daripada Ketua Polis Daerah Ampang Jaya berhubung penutupan balai berkenaan kepada orang awam bermula hari ini, susulan terdapat kes jangkitan Covid-19. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu