Nation
131
0

Bekas Pengerusi MARA Inc didakwa rasuah, ubah wang haram

Kuala Lumpur – Bekas Pengerusi MARA Incorporated Sdn Bhd, Datuk Mohammad Lan Allani didakwa di dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 22 tuduhan rasuah berjumlah RM20.45 juta dan pengubahan wang haram.

Mohammad Lan, 65, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi dan Rozina Ayob.

Bagi pertuduhan pertama hingga ke-14, Mohammad Lan didakwa menerima rasuah iaitu wang berjumlah RM7.45 juta daripada Pengarah Syarikat Optimus Capital Sdn Bhd, Mazrul Haizad Marof melalui cek Malayan Banking Berhad (Maybank) yang dibayar ke dalam akaun CIMB Investment Bank Berhad di mana dia mempunyai kepentingan.

Ia sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk “Proposed Acquisition of a Student Accomodation Building and a Commercial Retails Block known as Dudley International House, 7-14 Dudley Street, Caulfield East, Victoria 3145, Melbourne, Australia”.

Dia dituduh melakukan semua kesalahan itu di Maybank cawangan Mont Kiara, Jalan Solaris 1, Solaris Mont Kiara, di sini, antara Mac dan Julai 2013.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Dia turut didakwa atas tiga tuduhan cuba memperoleh dan memperoleh daripada pemilik Syarikat Marinn Property Pte Ltd dan Carlton Gardens Pte Ltd, Datuk Ding Pei Chai iaitu suapan untuk diri sendiri berjumlah keseluruhan RM3 juta sebagai dorongan mempercepatkan pembayaran baki pertama sebanyak 10 peratus dan baki kedua 30 peratus daripada jumlah nilai pembelian saham kedua-dua syarikat di antara Pei Chai dan MARA Inc.

Mohammad Lan dituduh melakukan kesalahan itu di beberapa tempat sekitar Kuala Lumpur antara Mei dan 27 Jun 2013 dan didakwa Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Mohammad Lan turut berdepan tiga lagi tuduhan bersetuju menerima dan menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM10 juta daripada Mazrul Haizad sebagai upah membantu meluluskan kertas cadangan bertajuk “Proposed Acquisition of Commercial Building Comprises281 Units of Student Accomidation known as, 746, Swanston Street, Carlton, Vic 3053 Australia”.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Solaris dan Maybank Mont Kiara, di sini, antara September dan 4 Disember 2012 serta didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, di hadapan Hakim Rozina, Mohammad Lan didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang berjumlah keseluruhan RM10 juta daripada akaun Private Banking Portfolio CIMB Bank ke akaun semasa CIMB Bank miliknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank, Jalan Sagunting, Central Building, Kota Kinabalu, Sabah, pada 10 Disember 2012 dan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan RM400,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Mohammad Lan dalam rayuannya menerusi peguam Hisyam Teh Poh Teik memohon wang ikat jamin dibayar secara ansuran dua kali iaitu RM200,000 hari ini dan selebihnya RM200,000 sebelum 16 Februari 2021.

“Tertuduh tidak dapat menyediakan RM400,000 pagi ini selain tidak mempunyai risiko melarikan diri, selain menghidap masalah sakit jantung dan tulang belakang,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM400,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkmah.

Mahkamah turut membenarkan ikat jamin dibayar secara ansuran dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu