Nation
96
0

Berita-berita ringkas Dewan Rakyat

Kuala Lumpur – Berikut adalah berita-berita ringkas persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Pindaan Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang dijangka dibentang di Parlimen pada akhir sidang ini merangkumi penambahan peruntukan kawalan terhadap aktiviti perdagangan dan promosi dalam talian bagi hidupan liar.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pindaan itu juga bagi memansuhkan peruntukan yang tidak relevan dan meningkatkan penalti bagi kesalahan di bawah Akta 716.

“Pindaan Akta 716 juga melibatkan pengukuhan pelaksanaan ‘wildlife managing plan’… ini penting untuk pastikan akta ini responsif kepada keperluan semasa termasuk pengukuhan penguatkuasaan dalam mengendalikan perkara seperti perdagangan dalam talian dan penyakit zoonotik.

“Selain pindaan akta, anggota penguatkuasaan juga ditingkatkan yang terdiri daripada veteran tentera, polis yang berpencen dan Orang Asli sebagai komitmen berterusan bagi mengekang isu berkaitan hidupan liar,” katanya pada sesi soal jawab hari ini.

***************************************************

Seramai 300,000 graduan telah dan akan menamatkan pengajian di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), swasta (IPTS) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) pada 2020, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Menurutnya, kementerian itu turut menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Sumber Manusia melalui agensi-agensi di bawahnya untuk melaksanakan beberapa inisiatif bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan baharu.

“Antaranya program reskilling dan upskilling bersama HRDF (Pembangunan Sumber Manusia Berhad). Melalui program ini, graduan akan ditempatkan di syarikat-syarikat yang dikenal pasti oleh HRDF selama satu hingga tiga bulan untuk menjalani latihan persijilan profesional dan kemahiran dalam bidang yang diperlukan oleh industri,” katanya pada sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) yang mahu tahu statistik dan angka graduan di institusi pengajian tinggi tahun ini serta langkah-langkah kementerian dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia dalam menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan baharu.

***************************************************

Setakat ini, kerajaan kekal tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), kata Timbalan Menteri Pendidikan II Muslimin Yahaya.

Beliau berkata UEC perlu mengikut Dasar Pendidikan Kebangsaan sekiranya mahu dipertimbangkan penyelesaiannya oleh kerajaan pada masa depan.

“Hingga kini KPM (Kementerian Pendidikan) tidak pernah menerima sebarang laporan awal, draf laporan ataupun laporan lengkap daripada PPDUEC (Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu) seperti yang ditetapkan semasa pelantikan (PPDUEC) dibuat.

“Oleh itu, tiada sebarang hasil kajian dapat diperhalusi dan diteliti KPM. KPM akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap laporan itu sekiranya ia diserahkan kepada KPM,” katanya dalam ucapan sesi Kamar Khas persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai jawapan kepada usul Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai ‘Dasar Kerajaan Mengenai UEC’.

– Bernama

 

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu