Nation
97
0

Berita-berita ringkas Dewan Rakyat

Kuala Lumpur – Berikut adalah berita-berita ringkas persidangan Dewan Rakyat hari ini:

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menerajui pembangunan Single Landing Page (pusat sehenti) yang dinamakan Sistem MyBelia bagi memudahkan golongan belia mengakses segala inisiatif yang sedang dijalankan kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sistem itu menyediakan maklumat bersepadu berkaitan inisiatif-inisiatif yang disediakan kerajaan dan bukan kerajaan untuk dimanfaatkan oleh belia merangkumi antaranya peluang dan penciptaan pekerjaan.

“KBS komited untuk terus membantu dan menjadi pelengkap kepada inisiatif membantu golongan belia yang berniaga,” katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang ingin tahu bagaimana kementerian itu dapat membantu golongan belia yang berniaga dan terjejas akibat COVID-19. – Bernama

***************************************************

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengadakan banyak kursus secara dalam talian bagi membantu menjana ekonomi individu yang terjejas akibat penularan COVID-19.

Menteri berkenaan Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata bagi membentuk keluarga yang sejahtera, pembangunan keluarga itu merupakan satu perkara yang amat penting.

“Banyak program yang sudah kita laksanakan, antaranya parenting at work kerana kita lihat ramai juga ibu bapa yang bekerja dari rumah…begitu juga kursus pendidikan awal kanak-kanak kita adakan melalui dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) mengenai bagaimana kementerian memastikan keberkesanan program-program mereka menggunakan kaedah baharu. – Bernama

***************************************************

Segala program yang dilaksanakan Kementerian Perpaduan Negara untuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) adalah berdasarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), kata Menteri berkenaan Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Kita ada rangka tindakan untuk masyarakat India termasuklah di bawah modal insan, keusahawanan dan sebagainya. Kita ada pelan MIB dan segala perancangan yang akan dibuat oleh pihak MITRA adalah berdasarkan pelan itu.

“Saya nak mohon maaf kerana permohonan MITRA hanya khusus untuk masyarakat India Malaysia sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) yang mahu tahu impak daripada program-program dan peruntukan untuk MITRA. – Bernama

***************************************************

Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan untuk menubuhkan 3,000 lagi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan 5,941 Sistem Rondaan Sukarela (SRS) pada tahun hadapan.

Menteri berkenaan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata sehingga Oktober 2020, sebanyak 8,274 KRT dan 5,333 SRS telah ditubuhkan di seluruh negara.

“Pelaksanaan dasar Satu KRT Satu SRS akan menghasilkan 11,274 KRT bersamaan 11,274 SRS (untuk tahun hadapan). Inisiatif tarik minat, pelaksanaan modul Gerak Kerja Komuniti KRT akan diperkenalkan pada tahun hadapan bersama rakan-rakan strategik perpaduan yang terdiri daripada kementerian, agensi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin tahu langkah-langkah diambil kementerian itu dalam memantapkan operasi KRT dan SRS di seluruh negara serta inisiatif menarik minat masyarakat menyertai KRT dan SRS. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu