Social
457
0

Bunuh diri dipercayai motif 3 beranak

Kampar –  Bunuh diri dipercayai menjadi motif tiga beranak ditemui maut dalam kebakaran di sebuah bilik sewa dalam unit rumah kedai tiga tingkat di Jalan Kampar Barat 3, Taman Kampar Putra, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, dalam kejadian 10 pagi itu, mangsa, R Kartiga, 35, yang bekerja sebagai jururawat di Hospital Kampar ditemui bersama anak lelaki dan perempuannya, S Shaarhveesh, 12, dan S Harrshikka, 6, di katil bilik.

Beliau berkata, siasatan awal oleh Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati pintu depan bilik berkenaan dalam keadaan berkunci dari dalam hingga terpaksa dipecahkan.

Katanya, satu tong berisi minyak petrol turut ditemui di belakang almari pakaian selain kesan renjisan petrol pada dinding bilik.

Hasron Nazri berkata, berdasarkan maklumat diperoleh daripada rakan baik wanita itu, mangsa sering menceritakan masalah keluarga dan perkahwinannya selain sudah dua minggu berada dalam kemurungan.

“Ketibaan pasukan bomba di tempat kejadian pada 10.13 pagi selepas menerima laporan mengenai kebakaran itu mendapati pintu bilik itu berkunci hingga memaksa bomba memecahkannya bagi memadamkan api.

“Mangsa juga pernah memberitahu rakan baiknya itu agar menguruskan mayatnya serta jangan sesekali menyerahkan mayatnya kepada keluarga, sekiranya dia mati.

“Siasatan awal polis mendapati motif kejadian adalah bunuh diri disebabkan masalah peribadi dan keluarga yang dihadapi mangsa. Bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mayat tiga beranak itu ditemui dengan jarak kira-kira 1.5 meter dari pintu utama di mana mereka sudah dalam keadaan tidak sedarkan diri sejurus bomba selesai memadamkan kebakaran di bilik itu pada jam 10.16 pagi.

“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kampar bagi membolehkan bedah siasat dijalankan untuk mengetahui punca kematian. Bagaimanapun masa dan waktunya belum ditentukan oleh pihak hospital,” katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati bilik berkenaan disewa oleh mangsa sejak enam tahun lalu selepas berpisah dengan suami.

“Kes disiasat sebagai SDR (mati mengejut) kerana membunuh diri,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan tiga termasuk dua kanak-kanak dipercayai sekeluarga itu ditemui bomba dalam keadaan melecur teruk dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – Harian Metro

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu