Nation
266
0

COVID-19: 5 kluster baharu dikenal pasti hari ini

Kuala Lumpur – Lima kluster baharu COVID-19 dikesan di Sabah, Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster pertama dikenali Kluster Sutera di Kota Kinabalu, melibatkan dua kes indeks yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala, pada 2 Nov lepas.

“Setakat 12 tengah hari ini, sejumlah 32 individu dari kluster ini telah disaring, dengan 15 kes dikesan positif COVID-19. Seramai enam individu dikesan negatif manakala 11 individu masih menunggu keputusan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kluster kedua dikenal pasti sebagai Kluster Ria-30 yang dikesan di Tuaran dan kes-kes dikenal pasti positif hasil saringan saringan komuniti sejak 2 Nov.

Katanya saringan kontak rapat bagi kluster itu mengesan 11 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua individu berkenaan dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Sepanggar.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Tamar yang merupakan kluster ketiga pula dikesan di Petaling, Selangor dengan saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 10 kes positif COVID-19.

“Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 1 Nov dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Beliau berkata kluster keempat membabitkan bukan warganegara dikenali Kluster Intan di daerah Timur Laut, Pulau Pinang dan indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 29 Okt lepas.

Katanya, saringan kontak rapat kluster itu mengesan sembilan kes positif COVID-19, daripada sejumlah 98 individu yang disaring.

Bagi kluster terakhir iaitu Kluster Danau, yang dikesan di Kuala Lumpur, sebanyak lapan kes positif dikenal pasti daripada sejumlah 82 individu yang disaring. Sejumlah 40 dikesan negatif manakala 34 individu lagi masih menunggu keputusan. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu