Nation
126
0

COVID-19: Dakwaan kerajaan abai Sabah tidak berasas – Saifuddin

Kuala Lumpur – Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha secara menyeluruh bagi memerangi pandemik COVID-19 di Sabah dan seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata kerajaan sentiasa peka dan memandang serius terhadap situasi di Sabah dan dakwaan pihak tertentu seolah-olah kerajaan mengabaikan rakyat negeri itu ketika berdepan peningkatan kes COVID-19 adalah tidak tepat sama sekali.

“Ia memberi gambaran yang tidak berasas tanpa mengambil kira situasi yang sebenar. Kerajaan mengalu-alukan pandangan serta kritikan, namun kritikan tersebut harus berdasarkan fakta dan kebenaran.

“Saya juga menyeru semua rakyat tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk terus berganding bahu dan bekerjasama bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19, seterusnya memulihkan negara demi kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, kelmarin.

Menurutnya, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini juga telah meninjau persiapan akhir misi penghantaran barang-barang keperluan kritikal bagi menangani pandemik ke Sabah dan Sarawak oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Misi seperti ini merupakan antara langkah dan usaha berterusan kerajaan bagi mengawal penularan kes serta menjaga keselamatan rakyat Sabah.

“Malah, setiap hari, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pengurusan COVID-19 dipengerusikan Perdana Menteri bagi memantau perkembangan terkini dan mengukuhkan tindakan mengawal penularan jangkitan,” katanya.

Jelasnya, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sabah yang dijadualkan berakhir pada 26 Okt lepas juga dilanjutkan sehingga 9 Nov seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di beberapa lokaliti zon merah di Sabah.

Tambah Saifuddin, kerajaan juga telah menghantar pasukan tambahan dari pelbagai kategori dan skim perkhidmatan yang meliputi kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi berkaitan untuk membantu situasi di Sabah.

Katanya, pasukan khas Operasi Pematuhan yang melibatkan keanggotaan agensi-agensi kerajaan termasuk ATM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta pihak berkuasa tempatan (PBT) ditubuhkan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKPB dan PKPD.

“Mereka bukan sahaja menjalankan penguatkuasaan PKPB dan PKPD malah juga memastikan penduduk di kawasan zon merah mendapat bantuan barang keperluan yang mencukupi. Anggota dan aset keselamatan negara juga akan ditambah bagi memperkasakan dan memperketatkan kawalan di Pantai Timur Sabah bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Jelasnya, pasukan Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melakukan 1,740 operasi sanitasi yang melibatkan 987 premis di Sabah setakat 29 Okt lepas.

Saifuddin berkata KKM telah meningkatkan kapasiti dan mobilisasi aset serta sumber manusia dalam memastikan sistem kesihatan awam dan perubatan di Sabah terus mampan dalam usaha membendung penularan COVID-19.

“Kini, Sabah mempunyai sembilan hospital yang merawat COVID-19 dan 28 Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) dengan kapasiti keseluruhan katil untuk rawatan pesakit COVID-19 adalah 8,375 dengan kadar penggunaannya sebanyak 47 peratus, manakala kapasiti keseluruhan katil di unit rawatan rapi (ICU) adalah 153 dengan 63 peratus sedang digunakan.

“Kerajaan juga bersetuju untuk melantik 1,899 petugas kesihatan tambahan secara kontrak bagi menangani gelombang ketiga pandemik ini,” katanya.

Beliau berkata KKM juga bekerjasama dengan ATM dalam menyediakan hospital medan di Tawau bagi kegunaan pesakit bukan COVID-19 agar lebih banyak katil di Hospital Tawau boleh digunakan untuk pesakit COVID-19.

Katanya, kapasiti ujian makmal ‘Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction’ (RT-PCR) di Sabah telah ditingkatkan dua kali ganda sejak Julai lepas.

“Setiap hari, penghantaran sampel RT-PCR dilakukan ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dengan menggunakan perkhidmatan TUDM dan Pos Laju.

“Manakala sebanyak 100,000 kit ujian RTK Antigen dihantar setiap bulan khususnya ke Sabah bagi membolehkan keputusan ujian dapat diperoleh dengan lebih cepat sejak Oktober lepas,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu