Nation
91
0

COVID-19: Kerajaan kaji akta baharu libatkan pilihan raya

Kuala Lumpur – Kerajaan akan mengkaji cadangan mewujudkan akta tertentu yang melibatkan proses pilihan raya bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata tidak dinafikan, pilihan raya seperti di negeri Sabah pada September lepas yang membabitkan perhimpunan beramai-ramai telah mengakibatkan peningkatan kes COVID-19 di negara ini.

“(Pilihan raya) ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tidak boleh memberi maklumat lanjut sama ada pilihan raya kecil atau pilihan raya umum boleh atau tidak dilakukan, tetapi kerajaan sentiasa memantau.

“Jika perlu wujudkan akta-akta tertentu, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan membuat cadangan kepada rakyat,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) sama ada kerajaan akan mewujudkan akta tertentu seperti memendekkan tempoh kempen atau kaedah kempen baharu untuk mengekang wabak COVID-19.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ketika ini telah berjaya mengawal penularan wabak COVID-19 dan mengelakkan kemudahan kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes yang terlalu tinggi.

Katanya, mekanisme itu termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang menekankan amalan protokol kesihatan dan kebiasaan baharu.

Beliau menjawab soalan asal Fong Kui Lum (PH-Bukit Bintang) mengenai langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan wabak itu. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu