Nation
164
0

COVID-19: KKM kenal pasti 5 lagi kluster baharu

Kuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lima lagi kluster baharu hari ini melibatkan dua kluster masing-masing di Sabah dan Selangor, serta satu di Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kluster Sakti melibatkan Daerah Lahad Datu di Sabah dengan 18 kes dikesan positif COVID-19, sementara 35 individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 154 individu yang disaring setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-12,995) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan di tempat kerja pada 5 Okt 2020. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 17 lagi kes positif COVID-19 dan kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu,” katanya dalam satu kenyataan.

Kluster Tuguson pula menurutnya melibatkan Daerah Kota Belud, Sabah dengan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-19,066) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 15 Okt 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Kota Belud.

“Sehingga 29 Okt 2020, 12 tengah hari, sejumlah 146 individu telah disaring, dengan 18 kes dikesan positif COVID-19 (empat kes baharu) dan 128 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Di Selangor pula, Dr Noor Hisham berkata Kluster Bah Medan melibatkan Daerah Sepang dengan 20 kes dikesan positif COVID-19 (empat kes baharu) dan 32 individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 52 individu yang telah disaring setakat 12 tengah hari kelmarin.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-12,112) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) pada 3 Okt 2020.

Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 19 lagi kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.

Selain itu katanya, Kluster Taman Laut melibatkan Daerah Petaling, Selangor dengan kes indeks bagi kluster itu (kes ke-25,431) dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 21 Okt dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak lima lagi kes positif COVID-19. Sehingga 29 Okt 2020, 12 tengah hari, sejumlah 123 individu telah disaring di mana 18 individu dikesan negatif dan 99 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara di Negeri Sembilan, Dr Noor Hisham berkata Kluster Taman Bunga melibatkan Daerah Seremban, Kuala Pilah dan Jelebu dengan 23 kes dikesan positif COVID-19 (16 kes baharu), dan tujuh individu masih menunggu keputusan daripada sejumlah 55 individu disaring setakat 12 tengah hari ini.

“Kes indeks bagi kluster ini (kes ke-27,711) telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 25 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar. Saringan kontak rapat telah mengesan sebanyak 22 lagi kes positif COVID-19,” katanya.
Lima kluster baharu itu menjadikan keseluruhan kluster ketika ini sebanyak 239 dengan 128 kluster aktif. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu