Nation
123
0

COVID-19: Talian Kasih 15999 kembali jadi perhatian rakyat minta bantuan

Putrajaya – Pusat panggilan Talian Kasih 15999 kembali menjadi perhatian masyarakat sejak gelombang ketiga COVID-19 bermula September lalu, dengan peningkatan sekali ganda daripada 6,770 panggilan bagi tempoh itu kepada 12,240 panggilan yang direkodkan, bulan lepas.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun bagaimanapun berkata, walaupun terdapat peningkatan panggilan menerusi Talian Kasih pada September lepas, ia tidak sebanyak seperti direkodkan ketika gelombang pertama COVID-19 melanda negara pada Mac lalu.

Beliau berkata panggilan tertinggi direkodkan ialah pada April dengan 55,129 panggilan kerana pada ketika itu ramai orang panik dengan situasi pandemik yang baru melanda negara.

“Kali pertama (April 2020) banyak terima panggilan sebanyak 55,129 iaitu 23,767 menerusi telefon dan 31,362 melalui WhatsApp.

“Sekarang ada peningkatan namun sedikit berbanding gelombang pertama COVID-19, dan kebanyakan aduan mengenai isu semasa, moratorium bayaran pinjaman, isu kewangan, keperluan anak-anak dan bagaimana menjana pendapatan kerana ada pasangan yang kehilangan kerja,” katanya di sini hari ini.

Rina berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Kembara Prihatin Negara 2020, bertujuan menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan kerajaan.

Ditanya kesukaran rakyat Sabah mendapatkan bantuan termasuk bakul makanan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Rina berkata bantuan bakul makanan adalah berdasarkan kepada permohonan dan ia disalurkan kepada tempat dan mereka yang memerlukan.

Beliau berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menyemak aduan individu yang tidak mendapat bakul makanan dari semasa ke semasa, selain itu banyak peruntukan yang telah disalurkan bukan sahaja daripada peringkat pusat malah kerajaan negeri ekoran ramai rakyat terjejas susulan COVID-19.

Mengenai Program Kembara Prihatin Negara, Rina berkata ia adalah inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) susulan pandemik COVID-19 memasuki gelombang ketiga bagi menyantuni rakyat yang terkesan melalui perkhidmatan aduan pelanggan, bakul makanan, kes kebajikan dan perkhidmatan agensi KPWKM antaranya Ziarah Prihatin, Pembangunan Keluarga, Pemerkasaan Wanita dan Kajian Kapasiti.

“Melalui Kembara Prihatin Negara, kita akan turun padang ke 108 daerah di seluruh negara dan menyasarkan sejuta rakyat mendapat manfaat daripada aktiviti dijalankan. Ia akan tertumpu di kawasan awam seperti pasar pagi, pasar tani, pasar malam, kompleks niaga, pusat komuniti setempat, taman perumahan serta projek perumahan rakyat dan projek perumahan awam,” katanya.

Beliau berkata program itu merupakan kerjasama strategik KPWKM dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, agensi kerajaan lain, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengoptimumkan sumber sedia ada secara bersama selaras dengan konsep kebajikan tanggungjawab bersama.

Rina turut menyeru syarikat korporat untuk menghulurkan sumbangan sama ada berbentuk kewangan atau barangan bagi sama-sama membantu rakyat yang terkesan susulan pandemik COVID-19. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu