Nation
202
0

Covid-19: Vaksin mula tunjuk keberkesanan

Petaling Jaya – Vaksin Covid-19 mula menunjukkan petanda baik apabila berlaku penurunan kes jangkitan di negara yang telah memulakan program imunisasi lebih awal.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) Kementerian Kesihatan (KKM), Dr. P. Kalairasu berkata, sehingga kini Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Israel menunjukkan penurunan kes selepas menggunakan vaksin Covid-19.

“Kes jangkitan terutama dalam kalangan warga emas dan golongan berpenyakit kronik telah mula menurun apabila jangkitan dalam kumpulan umur 60 tahun telah menurun antara 30 hingga 40 peratus di Israel.

“Begitu juga di UAE, kemasukan pesakit bergejala ke hospital semakin berkurang,” katanya dalam satu program di sebuah stesen televisyen tempatan baru-baru ini.

Menurutnya, dalam satu kajian di Israel, daripada 523,000 penerima vaksin, hanya 544 dijangkiti Covid-19 termasuk 15 dimasukkan ke hospital.

“Selain vaksin, pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan meningkatkan kebersihan diri turut menjadi faktor penurunan kes.

“Amalan pencegahan perlu terus diamalkan sehingga imuniti berkelompok atau herd immunity dibentuk,” jelasnya.

Tambahnya, kesan positif vaksin akan lebih ketara selepas lebih ramai rakyat di negara-negara besar mengambil vaksin seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Indonesia.

Sehingga kini, kira-kira 150 juta dos vaksin telah diagihkan ke 75 negara di seluruh dunia dan aksin Pfizer paling banyak diguna, diikuti vaksin AstraZeneca, Moderna, SinoPharm, Sputnik V serta Sinovac. – Kosmo Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu