Social
276
0

Datuk dituduh pukul, ugut isteri

Kota Bahru – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan memukul dan melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, dua minggu lalu.

Tertuduh, Razali Daud, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan isterinya, Nurhaslinda Anuar, 43, untuk mengambil pisau dan mahu membelah kepala wanita itu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurhaslinda.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Jalan Pasir Puteh, Kubang Kerian di sini kira-kira pukul 11.30 pagi pada 16 Januari lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shahril Ramli manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser Amri.

Terdahulu, Shahril mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kedua-dua pertuduhan.

Sementara itu, Ahmad Adha dalam rayuannya memohon ikat jamin rendah dikenakan kerana anak guamnya kini menanggung seorang anak berusia 14 tahun selain menjaga ibunya berusia 82 tahun yang sakit dengan kos rawatan dan ubat-ubatan mencecah RM3,000 sebulan.

“Selain itu, anak guam saya juga mempunyai penyakit tekanan darah tinggi dan kebimbangan melampau dalam dirinya,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,500 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 25 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin yang ditetapkan oleh mahkamah.

Razali pernah didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 9 November lalu atas dua pertuduhan ugutan jenayah dengan menggunakan pistol dan mencederakan seorang wanita sekitar Oktober lalu.

Dia turut tidak mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dikemukakan ke atasnya itu. Utusan Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu