Nation
79
0

Dr. Ali meninggal bukan sebab Covid-19

Putrajaya – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan Allahyarham Dr. Ali Noor Hassan meninggal dunia lewat malam kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat Covid-19.

“Adalah dimaklumkan bahawa ujian Covid-19 Allahyarham Dr. Ali Noor adalah negatif.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur sejak awal Disember tahun lalu namun bukan disebabkan oleh Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Noor Hisham berkata, KKM memohon agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi mengenai kes tersebut bagi menghormati jenazah serta ahli keluarga Allahyarham.

Beliau menjelaskan, Allahyarham bertugas di Klinik Kesihatan Batu 14, Hulu Langat sejak Jun tahun lalu berikutan penutupan sementara Klinik Kesihatan Batu 9.

“Allahyarham merupakan seorang Pegawai Perubatan KKM yang amat disenangi oleh rakan-rakan sekerja, pesakit dan masyarakat setempat beliau,” katanya.

Sementara itu, Noor Hisham turut menzahirkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham Dr. Ali Noor atas pemergian beliau.
“Marilah kita sama-sama memanjatkan doa dan peringatan buat arwah.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya.

Terdahulu Kosmo! Online melaporkan, negara disifatkan kehilangan perwira barisan hadapan dalam menentang Covid-19 selepas seorang doktor yang bertugas di KKM meninggal kelmarin. – Kosmo

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu