Nation
212
0

Dr Noor Hisham sangkal tanggapan PKPB gagal kawal COVID-19

Putrajaya – Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sr Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menyangkal dakwaan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) gagal mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Beliau berkata kaedah itu berjaya menurunkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) atau R-naught (R0) daripada 2.2 pada permulaan gelombang ketiga COVID-19 kepada 1 ketika ini.

“Kalau kita lihat dari permulaan gelombang ketiga dan dalam tempoh dua minggu (PKPB dilaksanakan), langkah itu telah berjaya kurangkan kadar kebolehjangkitan,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di sini.

Mengulas lanjut, beliau berkata lonjakan 1,755 kes yang direkodkan semalam disebabkan Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan saringan di Pusat Tahanan Sementara di Tawau dan Penjara Sandakan, Sabah serta di Penjara Seberang Perai, Pulau Pinang.

“Sebelum ini kita ada dua lonjakan kes iaitu pada 24 dan 26 Okt kerana KKM laksanakan saringan di Penjara Kepayan, Sabah,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kaedah PKPB dilaksanakan ketika ini bagi mengimbangi sektor kesihatan dan ekonomi, namun pada masa sama kerajaan perlu memperketatkan lagi sektor sosial termasuk kawalan rentas sempadan negeri dan daerah.

“Cabaran kita ialah dalam kita mengawal dan memperketat sektor sosial iaitu kita lihat dua tiga hari lepas ramai yang rentas daerah dan sempadan negeri, dari zon merah ke zon hijau.

“Kita membenarkan sektor ekonomi dengan lebih memperketatkan lagi sektor sosial, pelajaran dan sukan. Mungkin kita perlu memperhalusi tindakan kita supaya KKM dapat menjalankan aktiviti kesihatan awam, saringan komuniti dan sebagainya,” katanya.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu