Social
77
0

Dua rumah runtuh akibat pergerakan tanah

Kuantan – Dua buah rumah di Taman Gambang Damai di sini, runtuh pada awal pagi tadi dipercayai akibat pergerakan tanah kesan daripada hujan berterusan sejak Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata kejadian pada 3.40 pagi itu bagaimanapun, tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana penghuninya dipercayai telah berpindah.

“Buat masa ini, agensi berkaitan sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar kejadian dan penghuni berhampiran diarahkan mengosongkan rumah,” katanya kepada Bernama semasa meninjau lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Datuk Abd Rahim Muda ketika ditemui pemberita berkata pergerakan tanah itu berkemungkinan besar disebabkan aliran air anak sungai berhampiran.

Katanya, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang sedang menjalankan pemeriksaan dan siasatan dijangka mengemukakan laporan punca kejadian dalam tempoh seminggu.

“Setakat ini, 26 rumah dikategorikan sebagai berisiko dan mereka ditempatkan di Bukit Gambang Resort selain ada yang memilih untuk tinggal di tempat lain. Mereka hanya akan dibenarkan pulang selepas kita berpuas hati kawasan itu selamat sepenuhnya,” katanya.

Seorang pemilik rumah, Suhaimi Yunus, 51, yang merupakan seorang pensyarah menyifatkan dirinya amat bernasib baik kerana berpindah beberapa jam sebelum kejadian, dan tidak dapat membayangkan nasib isteri serta tiga anaknya jika mereka berada di rumah semasa kejadian.

“Saya melihat ada kesan retak di rumah sebelum keluar bekerja dan mendapati kesan retak itu semakin besar semasa pulang menyebabkan saya mula berasa tidak sedap hati lalu terus mencari rumah sewa di kawasan sekitar.

“Kami berpindah dengan tergesa-gesa dan hanya sempat membawa peti sejuk, mesin basuh, meja dan televisyen sebelum dihubungi jiran awal pagi tadi bagi memaklumkan rumah sudah runtuh,” katanya yang menetap di situ sejak tiga tahun lepas.

Saksi kejadian, Roslina Ahmad Said, 37, mendakwa mendengar bunyi kuat sekitar 3 pagi, menyebabkan beliau bingkas bangun dan keluar rumah untuk memeriksa keadaan sekitar.

“Secara tiba-tiba, rumah Suhaimi runtuh di depan mata menyebabkan saya terus mengejutkan semua ahli keluarga yang sedang tidur untuk segera keluar kerana bimbang jika situasi sama menimpa kami,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu