Social
160
0

Dua warga asing positif Covid-19 didakwa melalui Zoom

Petaling Jaya – Dua lelaki, masing-masing warga Bangladesh dan India yang disahkan positif COVID-19, hari ini didakwa dari sebuah lokap dan wad sebuah hospital melalui aplikasi video “Zoom”.

Prosiding terhadap lelaki Bangladesh berusia 33 tahun dan lelaki warga India berusia 43 tahun itu, dikendalikan secara dalam talian yang dihadiri majistret, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan peguam yang berada di mahkamah.

Bagi warga Bangladesh itu yang kini ditahan di sebuah lokap di sini, dia didakwa melarikan diri selepas disahkan positif COVID-19, yang perbuatannya itu boleh menyebabkan merebaknya penyakit yang boleh membahayakan nyawa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah tapak projek di Kota Damansara, di sini pada 10 malam, 22 Oktober lalu dan didakwa mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, lelaki terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana dia tidak memahami Bahasa Melayu. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Zafirah Syed Mustapa.

Majistret M Barath menetapkan 8 Februari depan untuk sebutan semula kes bagi kehadiran jurubahasa bahasa Bangladesh.

Di Mahkamah Majistret berasingan, lelaki warga India yang ditahan di wad sebuah hospital kerana positif COVID-19 pula mengaku tidak bersalah tinggal di Malaysia tanpa premit sah.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Persiaran Margosa Bandar Sri Damansara, di sini, pada 6.30 petang, 2 November lalu.

Lelaki berkenaan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imegresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun dan sebat tidak melebihi enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zamriah Zarifah Aris, manakala tertuduh diwakili peguam, Syed Azharul Asiq Syed Azhar.

Majistret Muhammad Iskandar Zainol menetapkan 18 Januari depan untuk sebutan semula kes. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu