Nation
132
0

Helikopter tiada kotak hitam, BSKU akan panggil mangsa terselamat untuk siasatan

Kuala Lumpur – Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan memanggil dua mangsa yang terselamat dalam nahas helikopter terhempas di Jalan Taman Melawati di sini esok bagi membantu siasatan, kata Ketua Inspektor Kemalangan Udara BSKU Brigedier Jeneral Izani Ismail.

“Pada hari ini, kedua-dua mangsa telah dibawa untuk menerima rawatan lanjut di hospital, jadi esok kedua-dua mangsa akan dipanggil oleh BSKU bagi membantu siasatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berkata kedua-dua helikopter jenis pesawat ringan itu tidak mempunyai kotak hitam.

“Kotak hitam hanya terdapat pada jenis helikopter yang saiznya lebih besar dan berat,“ katanya ketika ditanya sama ada helikopter itu mempunyai kotak hitam yang merupakan alat penting jika berlaku nahas udara.

Bernama yang berada di lokasi kejadian menyaksikan bangkai helikopter itu dibawa keluar selepas mengambil masa hampir sejam untuk dileraikan dan dibawa ke Subang menggunakan treler panjang bagi urusan siasatan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut (SDR).

“Bedah siasat terhadap dua mangsa nahas itu akan dijalankan esok di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memohon saksi awam yang merakam insiden tersebut agar tampil ke Balai Polis Taman Melawati atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya bagi membantu siasatan.

Dalam insiden itu, dua lelaki maut manakala dua lagi termasuk seorang wanita selamat dalam nahas melibatkan dua helikopter yang dipercayai berlanggar di udara sebelum sebuah daripadanya terhempas di kawasan semak di Taman Melawati.

Bernama melaporkan bahawa helikopter berwarna biru yang terhempas itu diterbangkan oleh Mohamed Sabri Baharom manakala sebuah lagi diterbangkan oleh Datuk Ahmad Jauhari Yahya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Sistem Penerbangan Malaysia Berhad yang kini dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad.

Mangsa yang terselamat iaitu Ahmad Jauhari, 66, dan Tan Chai Eian, 51, hanya mengalami kecederaan ringan. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu