Nation
121
0

Industri kedai bunga tidak terjejas teruk – Mekar Malaysia

Cyberjaya – Kedai bunga merupakan antara sektor yang tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan ramai pemain industri terjejas akibat kekangan tersebut.

Terkini, sektor itu dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat sama seperti industri lain dan situasi tersebut mencetuskan idea sampingan bagi pemainnya seperti menggandakan jumlah tempahan dalam talian serta khidmat penghantaran hadiah secara mengejut.

Pengasas bersama kedai bunga Mekar Malaysia Sheril Aida Ahmad Aseri, 34, ketika ditemui Bernama di sini berkata walaupun perniagaan yang diusahakan bersama adik-beradiknya itu agak terjejas sejak awal PKP tahun lepas, ia tidak melemahkan semangat mereka untuk terus bertahan.

“Pada mulanya kami buntu kerana pertama kali berdepan PKP serta tidak tahu mengenai bekalan bunga dan sebagainya.

“Tempahan juga turun mendadak kerana pelanggan tidak boleh datang ke premis tetapi khidmat kami masih diperlukan bagi tujuan sambutan hari jadi dan sebagainya,” katanya yang giat menerima tempahan secara dalam talian.

Mekar Malaysia turut menerima bekalan bunga segar secara mingguan dari Cameron Highlands dan juga negara luar seperti Kenya, Belanda, China serta Ecuador dan antara bunga yang diimport ialah Mawar, Baby’s Breath dan Tulip.

“Untuk tempahan Hari Kekasih tahun ini, kami mengambil bekalan stok dalam kadar minimum jika dibandingkan pada tempoh sama tahun lepas,” kata bekas arkitek itu .

Sheril Aida juga berharap kerajaan membenarkan sektor itu beroperasi seperti biasa dengan mengambil kira faktor risikonya yang kurang jika dibandingkan dengan kedai pakaian atau industri lain yang melibatkan sekumpulan individu.

Pegawai Pemasaran dan Jualan Cempaka Sari Florist Eleya Rose Amirrudin pula berkata syarikat itu tidak terjejas sepenuhnya akibat pelaksanaan PKP kerana jualan dan permintaan sentiasa ada setiap hari memandangkan ia mempunyai empat cawangan.

Eleya Rose berkata syarikat itu, yang berpusat di Shaftsbury Square di sini, turut menerima tempahan daripada organisasi besar dan sektor korporat yang menyumbang kepada operasi hariannya dan hanya sedikit terjejas apabila tiada majlis graduasi berlangsung di institusi pendidikan.

“Cempaka Sari Florist merupakan alumni Management and Science University. Setiap kali majlis graduasi, kami akan bersedia dengan tempahan bunga bagi jualan namun akibat penangguhan majlis itu, bisnes sedikit terjejas tetapi kami menampungnya dengan membuat tempahan untuk Tahun Baharu Cina, sambutan Hari Kekasih dan jualan Hari Ibu,” katanya.

Sementara itu, Alvina Pranch yang mengusahakan Floralz Best Ent Kulim Suprise Event Planner secara separuh masa, berkata beliau yang membuat khidmat penghantaran kejutan dan berpangkalan di Kulim sedikit terjejas akibat PKP.

“Saya terpaksa membatalkan tempahan bunga oleh pelanggan dari daerah lain seperti Serdang (Kedah), Lunas, Alma dan Bukit Mertajam di Pulau Pinang akibat larangan rentas negeri dan daerah manakala bekalan stok bunga bagi gubahan juga tiada kerana perlu rentas daerah bagi mendapatkan stok.

“Sebagai alternatif, saya membuat gubahan bunga tiruan yang ditempah secara dalam talian dari China. Saya juga telah membelanjakan lebih RM1,000 bagi tujuan ini khas bagi pesanan Hari Kekasih,” katanya.

Beliau turut menerima bantuan Geran Khas PRIHATIN sebanyak RM3,000 yang ditawarkan kerajaan bagi perusahaan kecil dan sederhana. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu