Nation
87
0

Jangan takut suntikan vaksin Covid-19: NPRA

Kuala Lumpur – Orang ramai diminta tidak bimbang untuk mengambil vaksin Covid-19 susulan terdapat dakwaan pengambilan vaksin itu boleh menyebabkan berlakunya kesan sampingan.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan (KKM) Norleen Mohamed Ali berkata apa yang berlaku dalam pengambilan vaksin itu di beberapa negara adalah kesan advers susulan imunisasi (AEFI) vaksin Covid-19, bukannya kesan sampingan tetapi tindak balas seperti bengkak dan rasa sakit di bahagian disuntik dan ia bukanlah perkara luar biasa.

Beliau berkata kira-kira 80 peratus penerima vaksin jenis itu mendapat kesan advers sebegitu selain peratusan kecil yang mengalami kesan seperti demam, sakit kepala, loya, muntah dan juga letih-letih badan.

“Ini merupakan reaksi yang biasa untuk pemberian mana-mana vaksin sebab ini merupakan yang kita panggil kesan ‘reactogenicity’ yang mana ia merupakan kesan vaksin ini bertindak balas di dalam badan untuk membangunkan imuniti, berikan perlindungan seterusnya daripada jangkitan.

“Daripada situ juga, kita dapati ada peratusan yang sangat kecil dan sangat jarang berlaku kesan advers yang kita klasifikasikan sebagai lebih teruk atau lebih serius,” katanya ketika memberi penerangan tentang ‘AEFI Vaksin Covid-19’ pada taklimat media berkaitan imunisasi Covid-19 oleh KKM secara maya semalam.

Menjelas lanjut, beliau berkata dalam konteks vaksin Comirnaty yang menggunakan kaedah Messenger RNA (mRNA) bagi vaksin Covid-19, kesan advers pengambilannya adalah berlaku secara kebetulan sahaja.

“Bagaimanapun, untuk kita jangkakan siapa yang akan dapat kesan advers ini, memang sukar sebab analoginya sama macam kita alergi pada makanan, kalau kita tidak makan, kita tidak tahu. Jadi samalah dengan kes ubat ataupun vaksin, anda tidak ambil, kita tidak tahu,” katanya.

Norleen berkata pengambilan ubat-ubatan dan ubat tradisonal juga boleh memberi tindak balas alahan kepada pengguna sama seperti vaksin bagi memberikan imuniti terhadap jangkitan Covid-19.

Beliau juga berkata pihaknya akan membuat penilaian manfaat iaitu sama ada pemberian sesuatu vaksin kelak adalah melebihi risiko yang dihadapi penerima kerana tidak dapat dipastikan siapa yang akan mendapat kesan advers.

“Stigma masyarakat mengatakan bahawa sekiranya ada kesan sampingan, sesuatu vaksin itu bahaya, sebenarnya salah. Kalau kita nampak di Amerika Syarikat, mereka dah beri sebanyak 21 juta dos, jumlah penerima vaksin yang mendapat kesan sampingan ini pun sangat rendah dan kebanyakannya adalah kesan ringan dan boleh sembuh dengan sendiri.

“Dia (Amerika Syarikat) punya kadar jangkitan juga telah menurun, maka kita dapat lihat di situ, dari segi data menunjukkan bahawa vaksin ini berkesan untuk melindungi kita dalam menangani pandemik Covid-19. Vaksin ni bukan sahaja untuk melindungi diri kita sendiri tetapi juga melindungi masyarakat keseluruhannya,” katanya.

Norleen berkata selain melaporkan kesan advers di aplikasi MySejahtera, penerima vaksin juga boleh membuat laporan di mana-mana fasiliti kesihatan terdekat atau di laman sesawang rasmi NPRA.

Mengenai mereka yang menerima kesan advers teruk hasil suntikan dos pertama vaksin Covid-19 dan tidak dapat meneruskan dengan dos kedua, beliau menjelaskan pihaknya telah membuat kajian dan keberkesanan vaksin itu pada kadar satu dos boleh mencapai sehingga 80 peratus serta cukup untuk melindungi penerima daripada jangkitan, dengan syarat masih mengekalkan prosedur operasi standard seperti menjaga jarak fizikal dan memakai pelitup muka.

Malaysia akan memulakan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada 26 Feb ini, dengan sasaran 80 peratus penduduk bersamaan 26 juta individu menerima suntikan vaksin secara percuma, menerusi tiga fasa.

Vaksin Pfizer-BioNTech akan tiba di Malaysia pada Ahad ini. — Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu