Social
188
0

Kematian penunggang basikal lajak: Wanita diperintah bela diri

Johor Bahru – Seorang pemandu wanita yang menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak dalam kejadian kemalangan empat tahun lalu diarah untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Shahanaz Sulaiman membuat keputusan tersebut ketika prosiding hari ini berhubung rayuan dibuat pendakwaan pada 10 November 2019 selepas Mahkamah Majistret melepas dan membebaskan tertuduh, Sam Ke Ting, 26, daripada dakwaan itu.

Shahanaz dalam penghakimannya kemudian memerintahkan tertuduh untuk membela diri bersabit kes berkenaan yang didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda RM20,000.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 9, 10 dan 11 Mei 2021 untuk pembelaan manakala tertuduh diberi jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, serta pasport dan lesen memandunya diserahkan ke mahkamah sepanjang perbicaraan kes.

Pembelaan akan dilakukan di Mahkamah Majistret di sini.

Mengikut pertuduhan, Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB 9984 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini, secara melulu atau dengan berbahaya hingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Kelapan-lapan mangsa adalah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijah, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.

Pada 18 Oktober 2019, Majistret Siti Hajar Ali membebaskan tertuduh selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.

Keputusan itu dibuat Siti Hajar selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan sejak kes itu dibicara pada 28 Mac 2017.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Faizal Mokhtar.

Dalam kejadian pada pukul 3 pagi, 18 Februari 2017, lapan remaja ditemui maut manakala lapan lagi cedera selepas dirempuh sebuah kereta ketika menunggang basikal lajak secara berkumpulan.

Kejadian itu berlaku di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Mahmoodiah di sini.

Pemandu kereta Nissan Almera ketika itu berusia 22 tahun ditahan bagi membantu siasatan kemalangan terbabit. – Kosmo Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu