Social
232
0

Keretapi tergelincir dari landasan

Johor Bahru – Sebuah keretapi membawa 24 penumpang dan empat staf tergelincir dari landasan di kilometer 752.75 hingga 753.25 (arah utara ke selatan) berhampiran Kampung Kurnia, di sini, semalam.

Bagaimanapun, semua penumpang dan staf tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam itu.

Berdasarkan maklumat, mendapan berlaku di kawasan berhampiran tapak Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB) dan dipercayai disebabkan hujan lebat pada sebelah petang.

Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin, melalui kenyataan kepada media berkata berikutan kejadian itu, tren terpaksa dihentikan sebelum kawasan kejadian.

“Semua penumpang dipindahkan dengan bas bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral.

“Ketika ini, perkhidmatan tren akan ditamatkan di Stesen Kempas Bahru dan penumpang akan disediakan kenderaan perantaraan bagi meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral dan sebaliknya,” katanya.

Mohd Rani berkata kerja pemulihan trek juga giat dijalankan di kawasan terbabit.

“KTMB memohon maaf kepada penumpang yang terbabit kejadian itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain, mengesahkan menerima kejadian membabitkan keretapi lima gerabak itu termasuk tiga gerabak penumpang. – BH Online

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu