Nation
225
0

Kes bunuh: Suspek utama antara tiga ditahan

Kuala Lumpur – Seorang suspek utama antara tiga ditahan disyaki terlibat dalam kes samun dan bunuh pesara kerajaan dalam kejadian di Bukit Bandaraya, Bangsar di sini, pada Ahad lepas (29 Nov).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed berkata kesemua mereka ditahan menerusi tiga tangkapan di Jalan Genting Klang serta Jalan Air Panas di sini, dan Jalan Rinching, Semenyih, pada awal pagi tadi.

Beliau berkata dua lelaki ditahan pada 3.30 pagi serta 4.30 pagi, dan susulan tangkapan itu membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki berumur 23 tahun dipercayai suspek utama kes tetak berkenaan dan dia ditahan dalam serbuan di Semenyih pada 5 pagi tadi.

“Hasil siasatan lanjut, polis berjaya mendapatkan pengakuan daripada suspek. Polis percaya pengakuan dibuat suspek utama iaitu yang ditangkap di Semenyih ialah individu yang menetak mangsa,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini hari ini.

Beliau berkata polis masih mengesan seorang lagi suspek lelaki dikenali sebagai T. Sugu, 27, yang disyaki turut terbabit dalam kejadian tersebut.

Berikutan tangkapan terbaru itu, beliau berkata polis akan memohon perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga lelaki tersebut hari ini.

“Sepuluh individu yang ditahan sebelum ini, pula telah dilanjutkan reman tujuh hari hingga 6 Dis depan,” katanya.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek ditahan sehingga kini seramai 13 orang.

Semalam, media melaporkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Saiful Azly Kamaruddin memaklumkan seramai 10 individu berumur antara 20 dan 29 tahun disyaki terbabit dalam kejadian samun dan tetak bekas pesara kerajaan itu, ditahan sejak hari kejadian.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang merupakan bekas penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) maut akibat ditetak dalam kejadian samun di rumahnya, manakala isterinya, Sarifah Yusof, 70, cedera di tangan kanan akibat ditetak.

Mangsa dipercayai ditetak dengan parang apabila cuba melawan dua lelaki tidak bertopeng yang memecah masuk dari tingkap bahagian dapur banglo dua tingkat itu. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu