Nation
111
0

Kes COVID-19 masih tinggi, kerajaan negeri Sabah syor tempoh PKPB dilanjut

Kota Kinabalu – Kerajaan Negeri Sabah mengesyorkan supaya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dijadualkan berakhir Isnin depan, dilanjutkan berikutan angka kes COVID-19 yang dicatatkan di negeri itu masih tinggi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun bagaimanapun berkata kerajaan negeri masih perlu mendapatkan pandangan serta nasihat daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengenai perkara itu.

“Jumlah kes COVID-19 masih tinggi di Sabah. Justeru, ini jelas perlunya bagi kami untuk mengesyorkan pelanjutan tempoh PKPB di negeri ini,” katanya dalam sidang media harian COVID-19 Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri itu juga sedang memperhalusi cadangan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) PKPB khususnya melibatkan beberapa sektor ekonomi dan perniagaan yang dilihat tidak sebagai penyumbang kepada jangkitan atau peningkatan jumlah kes COVID-19 di Sabah.

Katanya sektor itu termasuk restoran, perkhidmatan perhotelan, penetapan kapasiti penumpang perkhidmatan bas henti-henti dalam daerah, aktiviti riadah dan sukan yang tidak bersentuhan secara fizikal.

Masidi berkata cadangan itu akan diketengahkan untuk pertimbangan Majlis Keselamatan Negara berkaitan Pengurusan COVID-19 yang akan bersidang esok.

“MKN akan membuat pertimbangan mengikut keperluan dan syarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkaitan COVID-19. Jabatan Kesihatan Negeri juga berada dalam jawatankuasa itu, oleh yang demikian, keputusan dibuat berdasarkan nasihat jabatan tersebut.

“Bagaimanapun, jika terdapat sebarang kelonggaran dalam PKPB, ia akan memfokus kepada SOP berkaitan perniagaan, ini adalah bagi merangsang pemulihan dalam sektor ekonomi. Dari aspek sosial, sebarang bentuk perhimpunan masih dilarang kecuali yang tidak membabitkan aktiviti sentuhan rapat,” katanya.

Beliau juga berkata perkhidmatan perubatan yang disediakan di semua hospital di seluruh Sabah berada pada tahap optimum dan semua pesakit COVID-19 diberikan rawatan sewajarnya.

Katanya, selain tindakan kawalan oleh JKNS, agensi lain termasuk masyarakat perlu memainkan peranan bagi membantu melandaikan lengkuk COVID-19 di Sabah dengan mematuhi SOP termasuk mengamalkan norma baharu seperti penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan menjaga kebersihan diri.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini dilaporkan berkata sejumlah 1,755 kes baharu COVID-19 dicatatkan di seluruh negara dengan Sabah kekal sebagai penyumbang tertinggi iaitu 1,199 kes. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu