Nation
241
0

Kes tembak di sempadan: Polis tahan dua penyeludup

Padang Besar – Polis menahan dua penyeludup warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan Malaysia-Thailand dekat sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Perlis Datuk, Surina Saad berkata, pihaknya dimaklumkan empat lagi suspek ditahan pihak berkuasa Thailand di negara jiran itu.

“Seorang (penyeludup) ditangkap pasukan komando VAT 69 selepas kejadian dan seorang ditahan PGA Batalion 3, namun senjata tidak dijumpai.

“Daripada empat tangkapan dibuat penguat kuasa Thailand, tiga penyeludup dilaporkan cedera dan seorang yang membantu mereka turut cedera,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, keterangan daripada semua suspek akan dilakukan dengan kerjasama polis Thailand.

“Siasatan awal mendapati kejadian yang berlaku di Tembok Sempadan 9 (TS9) melibatkan 13 penyeludup.

“Penyeludup ketika itu dipercayai membawa lebih kurang 12 bungkus daun ketum (anggaran 400-500 kilogram) dan seguni ubat batuk,” katanya.

Sementara itu, katanya, anggota PGA dari Batalion 3 (Senoi Praaq) Briged Utara, Koperal Baharuddin Ramli yang terbunuh dalam kejadian itu mengalami kecederaan parah akibat terkena tembakan di bahagian kiri perut menyebabkannya meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata jenazah mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat manakala rakan setugas mangsa, Koperal T Norihan yang cedera parah di bahagian perut kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di Kangar.

“Kita amat berbangga dengan keberanian yang ditunjukkan (anggota) apabila bertempur dengan lebih kurang 13 penyeludup daripada negara jiran. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu