Reviews
333
0

Lanjutkan Moratorium Dan Pengeluaran KWSP demi kebajikan rakyat

Sejak akhir-akhir ini, isu pengeluaran wang akaun satu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi kegunaan rakyat yang berdepan dengan pandemik Covid-19 sering menjadi perbualan hangat di media.

Rata-ratanya berpendapat bahawa pengeluaran dari akaun satu ini merupakan pilihan terbaik di kala ramai rakyat yang mengalami kesempitan hidup dan juga kehilangan pekerjaan.

Antara yang mendukung pengeluaran dari akaun satu KWSP adalah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

MTUC, melalui Timbalan Presidennya Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kerajaan perlu membenarkan rakyat mengeluarkan simpanan dan caruman KWSP mereka berdasarkan kriteria tertentu, seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga telah menzahirkan pendapatnya mengenai isu ini dimana beliau, melalui laman berkata pengeluaran dari akaun satu KWSP adalah wajar pada ketika ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata ia adalah sukar bagi kerajaan membenarkan pengeluaran wang akaun satu KWSP kerana ada kemungkinan rakyat akan menghadapi masalah yang lebih besar di masa hadapan.

Walau bagaimanapun, Muhyiddin diseru agar kerajaan mengkaji saranan pengeluaran tersebut.

Dalam hal ini, ada pilihan yang lebih baik iaitu melanjutkan tempoh moratorium seperti yang pernah dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekurang-kurangnya untuk enam bulan lagi.

Langkah ini bukan sahaja akan menjimatkan perbelanjaan rakyat, terutamanya mereka yang mempunyai pinjaman dengan mana-mana bank, ia juga akan memastikan kehidupan seharian mereka terpelihara.

Tambahan pula, lanjutan moratorium ini akan banyak membantu mereka yang hilang pekerjaan semasa pandemik ini, untuk menjalankan kelangsungan hidup sementara mencari pekerjaan yang baharu.

Bukan sahaja itu, sekiranya lanjutan moratorium tidak dipertimbangkan terutamanya semasa keadaan ekonomi yang merudum ini, rakyat terpaksa menyambung bayaran pinjaman dari institusi perbankan yang boleh membawa kepada status kebankrapan jika tiada kemampuan.

Sebaliknya, jika wang dari akaun satu dibenarkan untuk dikeluarkan, simpanan persaraan rakyat akan berkurangan dan kesannya akan dirasai dalam tempoh masa yang panjang.

Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Zahid Hamidi, melalui satu kenyataan media telah menyatakan dua cadangan parti gabungan itu iaitu melanjutkan tempoh moratorium untuk tempoh enam bulan atau sebahagian daripadanya untuk kumpulan B40 dan M40 serta meluluskan pengeluaran wang daripada akaun satu KWSP bagi mereka yang layak.

Apa pun, sama-sama kita nantikan pengumuman Bajet 2021 pada Jumaat ini, yang sebahagian besarnya dijangka mengandungi pelan penyelamat kewangan untuk menempuhi pandemik Covid-19.

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu