Nation
157
0

Lebih 4,000 petugas barisan hadapan KKM dijangkiti COVID-19 – KP Kesihatan

Kuala Lumpur – Seramai 4,756 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dijangkiti COVID-19 setakat ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, daripada jumlah itu seramai 3,101 melibatkan petugas wanita dan 1, 655 petugas lelaki.

“Kebanyakan mereka ini mendapat jangkitan dalam komuniti dan bukannya di fasiliti tempat mereka bertugas,”katanya dalam sesi libat urus media darurat COVID-19 bersama Ketua Pengarah Kesihatan siri 2/201 secara dalam talian di sini hari ini.

Sesi itu turut disertai oleh Pakar Perunding Kanan Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh, Datuk Dr C Suresh Kumar, Ketua Unit Viralogi Institut Penyelidikan Perubatan (MIR) Dr T Ravindran, Pengarah Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan, Dr Hani Mat Hussin dan Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Amalan Perubatan KKM, Dr Mohamed Ahsan Mohamed Ismail.

Sementara itu Dr Noor Hisham berkata 936 barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dijangkiti virus itu setakat ini.

Beliau turut berkata sehingga kini petugas kesihatan yang telah dijangkiti COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ialah 93 orang.

“Kita sedang giat mengesan kontak rapat mereka dan mereka kini telah diasingkan untuk tujuan rawatan,” katanya.

Dalam sesi yang sama Dr Nor Hisham berkata satu lagi Varian B177 dikenal pasti di Malaysia baru-baru ini melibatkan individu yang pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mengulas lanjut Dr Ravindran berkata, sampel kes berkenaan adalah hasil saringan di pintu masuk antarabangsa.

Sebelum ini, varian B117 dikesan pada pertama kali di negara ini selepas rakyat tempatan pulang dari United Kingdom pada Disember lepas sebelum didapati positif pada 28 Disember. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu