Nation
142
0

LEBIH 5,000 RAKYAT MALAYSIA TELAH DAFTAR DAN GUNA E-LATIH – MENTERI SUMBER MANUSIA

Kuala Lumpur- Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) telah mencapai kejayaan baharu semalam dengan pelancaran platform agregator kemahiran dan pengetahuan terbesar dalam talian, e-LATiH untuk semua rakyat Malaysia secara percuma.

“Dalam tempoh 24 jam sejak dilancarkan, seramai 5,240 rakyat Malaysia telah mendaftar dan mula memanfaatkan kursus melalui platform ini.Saya berasa gembira kerana rakyat Malaysia telah merebut peluang ini dan memanfaatkan pengetahuan tersebut dengan baik. Ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia dapat menyesuaikan diri dan bersedia menerapkan teknologi dalam norma pembelajaran yang baharu,” menurut Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Jumlah pengguna yang menggunakan platform e-LATiH ini dijangka mencecah 1 juta pada akhir Jun 2021 dan jumlah ini dijangka bertambah kepada 2 juta pengguna menjelang akhir tahun 2021.

“Saya telah mengarahkan PSMB untuk memperbanyakkan kandungan dan dimuatnaik ke platform e-LATiH setiap minggu selain penambahan kandungan dibuat dalam Bahasa Malaysia dan bahasa lain pada akhir bulan ini. Ini bagi memastikan bahawa akan ada lebih daripada 1,000 kursus yang tersedia untuk semua rakyat Malaysia secara percuma.”

Menerusi platform e-LATiH, PSMB akan dapat memantau penggunaan serta mengetahui minat rakyat Malaysia terhadap jenis-jenis kursus latihan melalui carian kursus yang paling popular.Ini membolehkan PSMB untuk merancang dan menyediakan lebih banyak kursus yang mempunyai permintaan tinggi dan lebih bermanfaat untuk rakyat Malaysia.

“Saya berharap pengajaran dan pembelajaran menerusi platform yang dilancarkan ini akan menjadi lebih mudah untuk diakses oleh seluruh rakyat Malaysia di mana sahaja meraka berada. Adalah menjadi harapan saya juga agar rakyat Malaysia akan terus mempersiapkan diri untuk masa hadapan dengan memilih kursus bersesuaian.”

Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, PSMB akan menambah lebih banyak ciri-ciri lain termasuk menghubungkan platform e-LATiH ke laman web pekerjaan dan laman UpskillMalaysia yang diselaraskan oleh PSMB.

“PSMB juga akan membuka platform ini kepada Penyedia Latihan tempatan dan antarabangsa untuk menawarkan kursus berbayar pada kadar yang berpatutan secara dalam talian kepada semua rakyat Malaysia di bawah seksyen premium dalam masa yang terdekat ini.”

“Selain itu, PSMB juga dalam usaha untuk memberikan sijil bertauliah dalam bentuk kelayakan mikro bagi mereka yang ingin melanjutkan pelajaran atau menggunakan kelayakan ini untuk mencari pekerjaan baharu,” saran beliau lagi.

 

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu