Social
175
0

Lelaki terjun sungai elak ditahan polis

Kluang – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam Sungai Sembrong Kecil ketika cuba melarikan daripada serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, kira-kira jam 4.50 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, berkata lelaki berusia 32 tahun itu hilang selepas terjun ke dalam sungai berkenaan bersama empat lagi lelaki lain.

Katanya, sebelum itu satu serbuan dilakukan di bawah jambatan di sungai berkenaan dan pihaknya mendapati terdapat tujuh lelaki dalam keadaan mencurigakan dipercayai penagih dan pengedar dadah.

“Bagaimana pun hanya dua lelaki berusia 39 dan 41 tahun berjaya ditahan, manakala lima lagi terjun ke dalam Sungai Sembrong Kecil dengan kedalaman kira-kira tiga meter itu.

“Hasil pemerhatian anggota, seorang daripada lima lelaki yang terjun itu tidak timbul semula dan dipercayai lemas sebelum pasukan penyelamat daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kluang serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kluang dipanggil untuk melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat,” katanya melalui kenyataan kepada media hari ini.

Hang Seng berkata, hasil saringan air kencing terhadap dua lelaki yang ditahan positif dadah jenis mop dan masing-masing mempunyai empat hingga sembilan rekod kesalahan lampau.

“Turut berjaya dirampas tiga paket lutsinar disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat kasar 2.53 gram dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1962,” katanya

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Akob Sedek berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian jam 4.56 petang, semalam.

Katanya, satu pasukan dengan kekuatan sembilan anggota diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jusoh Mohd Salleh dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Anggota melancarkan gerakan mencari dan menyelamat menggunakan teknik pencarian di permukaan air namun gagal menemukan lelaki berkenaan,” katanya.

Menurut Akob, operasi mencari dan menyelamat terpaksa dihentikan pada jam 7 malam dan akan disambung semula jam 8.30 pagi ini. – BH Online

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu