Social
139
0

Macau Scam: Polis buru 3 suspek

Johor Baharu – Polis sedang mengesan tiga perancang utama penipuan Macau Scam menerusi pembelian hartanah bernilai RM336 juta di Pulau Pinang.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pengendali syarikat Teow Wooi Huat (Teddy Teow), 55, berperanan sebagai pembeli yang berurusan dengan syarikat pemaju manakala dua anaknya Teow Ee Meng, 30, dan Teow Chee Chow, 32, pula adalah dua ‘proksi’ yang juga pengarah syarikat bagi Tuah Semenanjung Sdn Bhd dan MBI Properties Sdn Bhd.

Susulan laporan siasatan awal yang diterima pada Ogos tahun lalu di Pekan Nanas, Pontian, dan Nusa Bestari, Iskandar Puteri, membawa kepada pembongkaran kegiatan sindiket itu, seterusnya tangkapan 12 individu tempatan yang juga pengarah syarikat berusia antara 29 hingga 68 tahun, pada 3 hingga 21 Disember lalu.

“Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kontinjen Johor menubuhkan satu pasukan khas menerusi Ops Pelican 2.0 bagi menjalankan siasatan secara intensif untuk mengesan aliran wang mangsa kepada sindiket penipuan Macau Scam.

“Modus operandi sindiket ini menggunakan beberapa lapisan akaun keldai untuk melakukan transaksi kewangan mereka bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Siasatan ke atas kedua-dua kes ini mendedahkan penggunaan kaedah pembelian hartanah dan mata wang kripto sebagai platform bagi penggubahan wang haram sindiket ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, 12 individu yang ditahan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur itu kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis, selain pihaknya juga sudah memanggil individu berpangkat Datuk Seri daripada sebuah syarikat pemaju untuk diambil keterangan dalam membantu siasatan.

Suspek utama pula iaitu Teddy Teow dikesan mempunyai banyak rekod jenayah lampau dan disyaki sudah melarikan diri ke Danok, Thailand, namun dua anaknya dipercayai masih berada dalam negara.

“Siasatan lanjut, sindiket berkenaan dipercayai menggunakan wang hasil penipuan untuk membeli 100 unit kondominium mewah dan unit komersial bernilai RM336 juta di Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang, selain disalurkan untuk jual beli matawang kripto.

“Siasatan lanjut mendedahkan sejak Jun tahun lalu (2020), sindiket berkenaan menerima wang berjumlah RM25 juta menerusi akaun keldai daripada 91 akaun bank berbeza, iaitu 18 akaun peribadi dan 73 akaun bank milik syarikat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebatan serta boleh dikenakan denda atau kedua-duanya,” katanya. – BH Online

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu