Social
104
0

Mahkamah tolak permohonan lucut hak wang Umno Johor

Kuala Lumpur –  Pihak pendakwaan hari ini gagal dalam permohonan mereka untuk melucut hak wang berjumlah RM677,872.55, yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada Badan Perhubungan Umno Negeri Johor, yang didakwa berkaitan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ini berikutan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan pendakwa raya selaku pemohon, terhadap Badan Perhubungan Umno Negeri Johor sebagai responden.

Dalam penghakiman, Muhammad Jamil berkata, mahkamah mendapati pemohon gagal membuktikan wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram dan Badan Perhubungan Umno Negeri Johor mengemukakan keterangan untuk membuktikan bahawa wang yang disita itu diterima daripada sumber-sumber lain.

“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah dapati pemohon gagal membuktikan bahawa wang yang disita adalah hasil daripada aktiviti haram. Oleh itu, permohonan pemohon ditolak,” kata hakim itu.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Haslinie Hashim, manakala peguam Syahrul Syazwan Salehin mewakili Badan Perhubungan Umno Negeri Johor.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwa raya terhadap Umno Negeri Johor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, agensi itu memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 entiti yang terdiri daripada individu, syarikat dan parti politik untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta, yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu