Nation
151
0

Malaysia tunggu data ujian klinikal fasa ketiga pengeluar vaksin COVID-19

Putrajaya – Malaysia sedang menunggu data ujian klinikal fasa ketiga daripada semua syarikat pengeluar vaksin COVID-19 sebelum membuat keputusan mengenai perolehan serta penggunaan vaksin itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata data daripada ujian klinikal ini penting bagi membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memastikan vaksin yang akan digunakan selamat dan berkesan.

Setakat ini terdapat 12 syarikat pengeluar vaksin COVID-19 yang sedang menjalankan ujian klinikal fasa ketiga, katanya.

“Setakat ini, kita tidak tahu vaksin yang dikeluarkan berkesan atau tidak kerana data ujian klinikal fasa ketiga belum diterbitkan lagi.

“Apabila dapat data, baru boleh dipertimbangkan penggunaannya dan setakat ini kami hanya dengar keberkesanannya melalui laporan media sahaja,” katanya dalam Taklimat Khas COVID-19 di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Datuk Dr Norhayati Rusli.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata vaksin COVID-19 yang ada ketika ini masih belum berdaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat.

“Banyak syarikat yang belum habis jalankan penyelidikan lagi dan sebab itu kami perlu kaji dengan teliti mengenai vaksin ini.

“Vaksin ini sama seperti ubat, ia perlu didaftarkan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Ditanya bila gelombang ketiga COVID-19 di negara ini akan berakhir, Dr Noor Hisham berkata tiada jangkaan bila pandemik COVID-19 akan berakhir dengan KKM akan terus melaksanakan tindakan kesihatan awam bagi memastikan jangkitan dapat dikurangkan.

“Kaedah kesihatan awam seperti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat telah berjaya elakkan daripada kes melonjak secara mendadak… apa yang pasti jika tiada kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) penyakit ini akan terus menular,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu