Nation
87
0

Maritim Malaysia rampas RM15.5 juta dadah, ketum tahun lalu

Langkawi – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menumpaskan aktiviti jenayah berat di laut membabitkan penyeludupan dadah dengan nilai rampasan kira-kira RM15.5 juta sepanjang tahun lalu.

Pengarah Maritim Malaysia Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah, berkata kejayaan hasil kawalan berterusan itu sekali gus diharap dapat menyuntik semangat tambahan kepada anggotanya menjelang sambutan ulang tahun ke-16 Maritim Malaysia Isnin ini.

“Sepanjang tahun lalu, APMM Kedah dan Perlis menggagalkan beberapa cubaan sindiket menjadikan kawasan perairan di sekitar kedua-dua negeri ini sebagai laluan penyeludupan.

“Hasil operasi berterusan serta kerjasama erat dengan komuniti maritim, kita merampas syabu seberat 61.5 kilogram bernilai RM12 juta, ganja seberat satu tan bernilai RM3 juta serta daun ketum seberat 4.8 tan bernilai RM500,000,” katanya pada media selepas melakukan tinjauan di sekitar perairan ini, hari ini.

Mengenai laporan ratusan etnik Rohingya hilang dari kem pelarian di Indonesia dan dipercayai diseludup masuk ke Malaysia, Mohd Zawawi berkata, pihaknya belum menerima maklumat pelarian terbabit menuju ke perairan negara ini, khususnya di Langkawi.

“Maritim Malaysia akan terus pastikan sempadan negara tidak dicerobohi,” katanya, menambah penugasan Op Benteng yang turut membabitkan beberapa agensi penguatkuasaan lain akan memastikan perairan negara sentiasa dikawal dengan berkesan. – Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu