Nation
238
0

Najib perlu ke Parlimen, bicara kes 1MDB tangguh

Kuala Lumpur – Perbicaraan dua kes dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang masing-masing sepatutnya bersambung minggu ini dan minggu depan, ditangguhkan ke Januari tahun depan berikutan bekas perdana menteri itu perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

Kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah sebelum ini dijadualkan dari 14 hingga 17 Dis ini, dengan pihak pembelaan dijangka meneruskan soal balas ke atas bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman.

Bagi kes meminda laporan akhir audit 1MDB yang dihadapi Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan, ditetapkan hari ini hingga Khamis dengan pihak pembelaan akan menyoal balas Pengarah Audit Jabatan Audit Negara (JAN) Datuk Nor Salwani Muhammad dan seramai 11 saksi pendakwaan lagi dijangka dipanggil memberi keterangan.

Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib memberitahu pemberita pihaknya menulis surat kepada kedua-dua mahkamah minggu lepas, memohon supaya perbicaraan kedua-dua kes itu dilapangkan berikutan anak guamnya perlu menghadiri persidangan Dewan Rakyat yang telah ditetapkan hingga 17 Dis ini.

“Sehubungan itu, mahkamah telah menetapkan tarikh baharu untuk menyambung perbicaraan kedua-dua kes tersebut iaitu bagi kes rasuah, mahkamah menetapkan 4 hingga 7 Jan tahun depan manakala bagi kes meminda laporan akhir audit 1MDB, mahkamah menetapkan 18 hingga 21 Jan tahun depan,” katanya di sini hari ini.

Nur Syahirah ditemui selepas pengurusan kedua-dua kes di hadapan dua Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad dan Catherine Nicholas, yang turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dan Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Bagi kes rasuah, mahkamah turut menetapkan tarikh-tarikh lain untuk sambung bicara iaitu 25 hingga 27 Jan, 2 hingga 4 Feb, 8 hingga 11 Feb dan 15 hingga 18 Feb, 5 hingga 8 April, 19 hingga 22 April dan 26 hingga 28 April, 3 hingga 6 Mei, 17 hingga 20 Mei dan 24 hingga 27 Mei, 1 hingga 3 Jun, 8 hingga 10 Jun, 21 hingga 24 Jun dan 28 hingga 30 Jun serta 5 hingga 8 Julai tahun depan.

Sementara bagi kes meminda laporan akhir audit 1MDB, mahkamah juga menetapkan tarikh-tarikh lain untuk sambung bicara iaitu 22 hingga 24 Feb, 8 hingga 11 Mac, 5 hingga 8 April dan 12 hingga 15 April tahun depan.

Najib, 67, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan agar pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah ‘dimuktamadkan’ oleh Ketua Audit Negara sebelum ‘dimuktamadkan sekali lagi’ dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

Arul Kanda, 44, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam melakukan pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan isu 1MDB.

Najib juga menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu