Nation
98
0

Pejuang sedia sokong Belanjawan 2021- Tun M

Langkawi –  Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM ) bersedia menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 6 Nov ini.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bagaimanapun mereka perlu meneliti terlebih dahulu kandungan dalam belanjawan itu sebelum boleh berbuat demikian.

“Kita nak bersetuju, tapi kita tidak tahu apa dia (kandungan dalam belanjawan). Takkan kita nak ‘sign blank cheque’, jadi kita nak tahu apa ada dalam belanjawan.

 

“Kerana ‘paper’ berkenaan dengan belanjawan ini tebal. Ada dua bahasa… kita kena baca dulu,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil Pejuang Langkawi di sebuah hotel di sini.

Bekas perdana menteri itu diminta mengulas titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan oleh COVID-19.

Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parlimen untuk meneliti sesuatu dokumen sebelum membuat keputusan menyokongnya di Dewan Rakyat.

Mengulas mengenai pendaftaran Pejuang yang masih belum diluluskan, Dr Mahathir meminta JPPM menyatakan dengan jelas perkara yang diperlukan oleh jabatan itu untuk mengesahkan pendaftaran parti tersebut.

“Beritahu apa yang tak lengkap, kita ini berpegang kepada undang-undang, kalau ada melanggar undang-undang kita akan betulkan,” katanya. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu