Social
85
0

Pemotong rumput didakwa pukul polis

Ipoh -Seorang pemotong rumput didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang polis menjalankan tugas dan menyebabkan kecederaan dengan memukul kepala anggota polis berkenaan menggunakan topi keledar Selasa lepas.

P. Subramaniam, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam iaitu Sarjan Mohd Zainudin Mohd Jidin daripada menjalankan tugasnya dengan enggan menunjukkan kad pengenalan semasa diminta ketika pemeriksaan.

Subramaniam didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohd Zainudin dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di kawasan Jalan Sungai Pari berdekatan Flat Harmoni di sini pada kira-kira pukul 3.15 petang pada Selasa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee mencadangkan jaminan sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Subramaniam kemudian merayu jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya bergaji sebanyak RM1,200 dan perlu menyara isteri serta empat orang anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes. — Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu