Nation
192
0

Pendidikan, nilai murni kunci utama bentuk pemimpin masa depan, tadbir urus yang baik: Tun M

Kuala Lumpur – Pendidikan menekankan nilai murni penting untuk mewujudkan generasi pemimpin masa depan yang mampu menerajui sebuah negara dengan tadbir urus yang baik.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha bersepadu harus dilakukan untuk menanamkan nilai-nilai murni kepada anak-anak melalui pendidikan di peringkat awal.

“Saya fikir, semuanya bermula dengan pendidikan kita. Jadi, bila kita mula mengajar anak-anak kita nilai-nilai yang baik, apabila mereka dewasa mereka akan tahu bagaimana menguruskan diri sendiri dan bagaimana menguruskan apa jua kedudukan mereka di negara mereka sendiri.

“Ini proses yang panjang, (tetapi) tidak ada jalan pintas (untuk itu),” katanya pada Dialog Perdana 2021 yang diadakan secara maya pada Selasa, di Kuala Lumpur.

Bertemakan “Sistem Tadbir Urus”, forum ini dianjurkan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, platform  mempromosi tadbir urus yang baik, serta memupuk program pembangunan berkesan dan mampan.

Tambah beliau bagi umat Islam, Al-Quran banyak menekankan pentingnya nilai-nilai murni dan menjadikannya satu amalan dalam kehidupan.

Dr Mahathir merangkap Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur berkata pendidikan dengan sistem nilai yang baik juga memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran dan tindakan seseorang.

Peperangan misalnya, Barat selalu berperang dan menghabiskan berbilion dolar untuk membina dan mencipta senjata baharu.

“Ini adalah cara mereka memandang sesuatu, perang itu sah, perang adalah cara menyelesaikan sesuatu. Saya berharap untuk memiliki tadbir urus yang baik, kita harus menanamkan dalam fikiran anak-anak dan di sekolah serta universiti, perang itu adalah jenayah,” tambahnya.

Forum itu turut disertai beberapa pemimpin dunia Islam, antaranya Ketua Setiausaha Sidang Kemuncak KL Dr Abd El-Razzak Makri, bekas Timbalan Perdana Menteri Turki Dr Emrullah Ishler, bekas Menteri Luar Tunisia Dr Rafik Abdel Salam, bekas Menteri Perancang dan Kerjasama Antarabangsa Mesir Dr Amr Darraq. ― Bernama

More Similar Posts

You must be logged in to post a comment.
Most Viewed Posts
Menu