Nation
223
0

Peranan ahli keluarga penting bendung Covid-19 – PM

Kuala Lumpur – Peranan setiap ahli keluarga amat penting untuk melindungi keluarga masing-masing daripada bahaya Covid-19 selain bertanggungjawab untuk bersama-sama membendung penularan wabak itu dalam komuniti.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana kesan pandemik itu ke atas negara dan amalan norma baharu telah mengubah kehidupan masyarakat.

Jelas beliau, tanggungjawab dan cabaran keluarga juga makin bertambah dalam meningkatkan penjagaan kesihatan keluarga, memastikan kelangsungan pendidikan anak semasa di rumah dan penjagaan anak semasa bekerja.

”Pada masa yang sama, keluarga yang terjejas dengan pandemik ini perlu diperkasa dan diberi sokongan bagi memulakan kehidupan baharu dan meneruskan kelangsungan hidup.

“Sistem sokongan yang komprehensif memerlukan penglibatan semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), swasta dan orang perseorangan untuk peduli keluarga dan saling membantu keluarga yang memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempenan Majlis Perasmian Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan secara langsung di Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di sini hari ini.

Tema sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini adalah Kita Jaga Keluarga.

Muhyiddin menyifatkan tema itu menggambarkan komitmen kerajaan untuk melindungi institusi keluarga daripada wabak Covid-19.

Menurutnya, keluarga yang terkesan diberi pelindungan, sokongan emosi dan khidmat kaunseling bagi membina semula kekuatan keluarga supaya lebih cekal dalam menghadapi cabaran pada masa akan datang.

“Dalam hal ini, saya difahamkan pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menyediakan Talian 15999 yang secara 24 jam menyediakan khidmat sokongan dalam membantu menangani isu tekanan emosi.

“Selain itu, Inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara pula menyediakan Bantuan Khas Ibu Tunggal.

“Saya percaya bahawa inisiatif-inisiatif ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan ibu tunggal untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anak dan ahli keluarga,” katanya. – MalaysiaGazette

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu