Social
257
0

Pesara guru rugi RM224,840 diperdaya ‘African Scam’

Seremban – Seorang pesara guru wanita berputih mata apabila kerugian RM224,840 gara-gara terpedaya dengan helah seorang ‘rakan lama’, yang merupakan sindiket ‘African Scam’, dalam kejadian di sini, dua bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, dalam kejadian berlaku antara 7 hingga 24 September lepas, wanita berusia 63 tahun itu mendakwa telah menerima panggilan daripada seorang individu yang mengaku sebagai rakan lama, yang kini menetap di Liverpool, England untuk meminjam wang bagi membiayai kos rawatan anaknya.

Katanya, wanita berkenaan kemudian bersetuju untuk membantu dan telah membuat pindahan wang pada 7 Sept lepas ke dalam sebuah akaun bank tempatan milik anak kepada ‘rakan lama’, untuk kos pembedahan di Hospital Miri, Sarawak.

“Pada hari yang sama juga, ‘rakan lama’ pengadu telah membayar semula sebanyak 10,000 Pound Sterling bersama resit kemasukan wang kepada pengadu. Pada 14 September, pengadu telah menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai bank negara Fadilah Husaini, yang memaklumkan tentang wang yang dimasukkan daripada ‘rakan lama’ berjumlah 100,000 Pound Sterling dan bukannya 10,000 Pound Sterling dan memaklumkan terdapat kesalahan pada sistem resit.

“Individu berkenaan telah meminta pengadu untuk membayar cukai untuk mendapatkan wangnya kembali. Pengadu juga telah dirujuk kepada Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom mengenai kesilapan kemasukan wang itu dan telah diminta untuk membuat bayaran penalti, insurans dan sekuriti servis,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Aibee berkata, susulan itu, pengadu telah memasukkan wang ke dalam beberapa akaun bank tempatan yang keseluruhannya berjumlah RM224,840, seperti mana yang diarahkan suspek.

Katanya, menyedari telah ditipu, mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, kerana menipu. – Bernama

More Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Most Viewed Posts
Menu